Chang seorang peguam ditahan sewaktu mengunjungi anak guamnya, bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di Ibu Pejabat Polis Dang Daerah Wangi di Kuala Lumpur, tengah hari tadi.
"Pada hari yang penuh keaiban dan sikap pengecut pada rejim Najib dan kroninya, saya dengan ini mengisytiharkan saya memulakan mogok lapar demi menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia pemimpin Umno yang dipimpin Najib adalah pengecut dan tidak boleh dipercayai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chang berkata, beliau sebenarnya sudah bersedia sebanyak 2 kali bagi ditahan sebelum ini iaitu sewaktu dipanggil memberi keterangan "sebagai saksi" dalam kes anak guamnya, Khairuddin pada 28 September dan 2 Oktober, 2015.
"Keluarga dan rakan-rakan saya di Malaysia dan luar negeri sudah dimaklumkan tentang penipuan ini dan mereka sudah dimaklumkan agar bersedia mendedahkan salah guna kuasa melampau polis, rejim Najib dan pengendalinya," kata Chang.
Penahanan Chang disahkan peguamnya Mohd Akmal Afiq Mohammad yang datang bersamanya untuk melawat Khairuddin di IPD Dang Wangi jam 2 petang tadi.
"Kami melawat anak guam kami 2 petang tadi, sejurus habis melawat kira-kira jam 2.30, Pegawai Bukit Aman ASP Muniandy menahan Mathias di bawah Sosma mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan, sama seperti Khairuddin,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Akmal berkata, Chang akan ditahan 24 jam bermula hari ini dan penahanan 28 hari hanya dapat dibuat selepas polis mendapat kelulusan daripada sekurang-kurangnya pegawai polis berpangkat superintenden.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat permohonan menentang penahanan Sosma di mahkamah secepat mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan