Rabu, 7 Oktober 2015

Apa selepas TPPA?



Oleh Mohd Rizal Jaafar


Pada jam 9.30 malam tadi, setelah hampir seminggu lamanya tertangguh, 12 ketua perunding Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akhirnya berjaya mengukir senyum apabila perjanjian yang dirundingkan lebih 5 tahun itu akhirnya berjaya juga dimuktamadkan. Namun apakah ertinya peristiwa pengumuman tersebut? Wajarkah kita meraikannya?

Sebagai individu yang kuat menentang gagasan TPPA, saya sudah tentulah lebih sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Terasa sia-sia benar usaha kami selama lebih 2 tahun berkempen, berkongsi maklumat dengan orang ramai, membuat penyelidikan dan menerbitkan bahan bacaan, mengadakan ratusan pertemuan dan sesi meja bulat, memanggil puluhan pakar dari seluruh pelosok dunia dan tidak terkecuali untuk duduk semeja dengan para perunding TPPA dan pembuat dasar bagi melontarkan pandangan serta kebimbangan kami.

Sidang media pasukan perunding TPPA semalam sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan. Di sebalik kelegaan para perunding TPPA, terakam juga wajah cemas sebahagian daripada mereka yang tentu lebih arif akan bahaya sebenar TPPA kepada negara masing-masing. Apa sebenarnya yang dirundingkan atau dimuktamadkan kita masih belum maklum.  Dikatakan rundingan masih terus berlangsung sehingga jam 5 pagi Isnin sebelum semua 12 negara TPPA benar-benar bersetuju.

Persoalannya, kini teks TPPA muktamad. Apa yang tinggal ialah usaha untuk mendapatkan mandat daripada rakyat negara masing-masing. Usaha ini, jika Malaysia dijadikan contoh akan berlaku dalam tempoh 30 hari yang akan datang apabila teks rundingan dipertontonkan kepada umum.

Parlimen pula yang akan mula bersidang pada 19 Oktober nanti wajib membincangkan terma yang dipersetujui pasukan perunding TPPA Malaysia. Jika ada kandungan teks yang tidak dipersetujui, kita tidak pasti sebarang pindaan dapat dilakukan lagi.

TPPA akan ditandatangani secara rasminya selepas draf akhir perjanjian ini dibentangkan di Kongres Amerika dalam tempoh 2-3 bulan lagi, sebelum dimuktamadkan dan dikuatkuasakan sepenuhnya selepas itu.

Walaupun mungkin sudah terlewat, namun kita tidak sepatutnya menyerah nasib begitu saja.  Segenap usaha haruslah digembleng bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terus tertipu dengan helah licik TPPA.

Kini terserahlah kepada 30 juta rakyat Malaysia, dengan mengharapkan kebijaksanaan ahli Parlimen yang dipilih untuk bertanyakan soalan bijak dan bermakna, tidak kiralah daripada parti politik mana pun mereka bersuara.

Banyak yang patut dipersoalkan. Antaranya ialah jika sungguh TPPA ada kelebihannya, bagaimana pula dengan risiko yang bakal ditanggung, dan siapa pula yang terpaksa menanggungnya? Adakah kita memiliki kekuatan dan kelebihan daripada segi perundangan, ketenteraan, ekonomi, pengaruh politik dan lobi serantau untuk mempertahankan diri sekiranya ada syarikat antarabangsa yang mengambil keputusan menyaman Malaysia kerana mengingkari syarat TPPA?

Bagaimana TPPA dapat mempengaruhi suasana geopolitik semasa?  Bagaimana kedudukan Bumiputera, agama Islam, institusi Raja Berperlembagaan, institusi kehakiman; terutamanya apabila rukun asas menyokong TPPA itu sendiri ialah memberi kesamarataan hak, bahkan memberi keistimewaan berganda kepada syarikat dan warga asing? Apakah akan terpaksa dipinda setiap perlembagaan, dasar dan polisi bagi memberi laluan seluas-luasnya kepada desakan dan tuntutan TPPA?

Apakah jalan keluar terbaik kepada Malaysia sekiranya pada satu masa nanti kita mendapati TPPA tidak lagi menguntungkan? Apakah masih ada ruang mencukupi untuk Malaysia melaksanakan dasar-dasar khusus, sebagai contoh mengawal mata wang tempatan sekiranya ringgit jatuh sehingga RM6-RM7 untuk setiap dolar Amerika? Atau memberikan kelebihan kepada tenaga tempatan apabila peratusan graduan menganggur melepasi paras berjaga-jaga?

Bagaimana pula Malaysia boleh memastikan ubat-ubatan kekal murah, khususnya apabila jelas TPPA hanya berminat untuk melindungi kebajikan syarikat farmaseutikal gergasi yang memegang paten kepada ubatan, sekali gus mengekang penghasilan ubatan generik? Apakah pula mekanisme yang akan diguna pakai Malaysia untuk mengekang daripada tindakan saman syarikat besar tersebut?

Sebenarnya masih terlalu banyak persoalan yang perlu dijawab oleh pendukung TPPA Malaysia.  Dahulunya soalan-soalan ini tidak dijawab kerana kononnya tertakluk kepada kerahsiaan.

TPPA amat dekat di hati saya dengan sejarah perjuangan yang penuh berliku.  Setiap kali mengimbau bahana TPPA, saya sering teringat akan dua peristiwa hitam yang hampir menggadai negara dan masa depan anak bangsa kita.

Pada 1874, penjajah British mengintai peluang untuk menguasai ekonomi dan politik Tanah Melayu terutamanya setelah melihat tabiat pemimpin Melayu yang saling bercakaran. Dengan segala tipu muslihat, Perjanjian Pangkor akhirnya termeterai dan kuasa raja-raja Melayu ikut sama terhakis.  Hampir seluruh kekayaan hasil bumi negara dikaut dan dikirim ke Great Britain, menjadi bahan mentah yang digunakan bagi memperkuatkan angkatan tentera serta armada laut empayar British pada ketika itu.

Pada 1946, sekali lagi Tanah Melayu ‘dipujuk’ dengan tawaran British untuk menubuhkan MalayanUnion, konon mencari jalan penyelesaian kepada masalah negeri-negeri Melayu yang sering bertelagah.

Cita-cita ini hampir sahaja terlaksana jika tidak kerana bantahan rakyat tempatan.  MalayanUnion akhirnya terbubar, digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya disemai menjadi gerakan memerdekakan tanah air.

Lebih mengharukan lagi apabila TPPA dilengkapkan pula dengan senjata paling berbisa iaitu ISDS (Investor to State Dispute Settlement); suatu ‘jerangkap samar’ oleh syarikat berkepentingan (melalui firma guaman terkemuka) untuk menyaman negara berdaulat sekiranya terma-terma TPPA dimungkiri sehingga berbilion dolar Amerika.

Hakikatnya, TPPA tidak mungkin satu perjanjian saksama kerana sedari awal penubuhannya lagi TPPA diselubungi rahsia, tipu helah dan cita-cita dayus golongan yang hanya mahu memonopoli dan menguasai kekayaan serantau.

Inilah rupa sebenar penjajahan abad ke-21 yang menggunakan ketajaman mata pena bagi merompak hasil mahsul dan memusnahkan masa hadapan negara-negara kecil dan membangun seperti Malaysia.Jika tidak berwaspada, sejarah pasti berulang kembali.

* Penulis ialah bekas COO Majlis Tindakan Ekonomi Melayu.

Tiada ulasan: