PRK Rompin Grafik Sinar Online
 
 
 
KUALA LUMPUR - Keputusan Pas untuk meletakkan calon bukan dilakukan semata-mata untuk memenangi PRK Rompin dan mengambil alih kawasan tersebut dari BN, sebaliknya ia merupakan peluang terbaik bagi semua pihak untuk tampil dan bercakap mengenai isu semasa dengan rakyat.
 
Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pilihan raya memberi peluang kepada pemimpin untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan tersebut.
 
"Kita bertanding dalam pilihanraya ini bukan untuk menang. Tetapi ini adalah peluang terbaik bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan terbuka dalam sistem demokrasi kita. Soal menang kalah tidak penting, Ini ruang yang kita ada, kita harus gunakan.
 
"Ada banyak isu yang boleh diketengahkan menjelang pilihan raya nanti, antaranya isu jalan raya yang mengundang bahaya dan menyebabkan kemalangan di sana, isu Felda, isu GST dan sebagainya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
 
Bercakap mengenai calon Pas yang akan bertanding menentang BN dan mengambil alih Rompin pada 5 Mei ini, beliau berkata, pihaknya masih memoertimbang calon yang sesuai untuk dipertandingkan.
 
"Kami masih meneliti beberapa nama yang sesuai, buat masa sekarang kita sudah ada dua hingga tiga nama. Tetapi itu semua masih perlu melalui beberapa proses penapisan terlebih dahulu.
 
"...kita akan umum dalam masa terdekat," katanya lagi.