Khamis, 30 April 2015

Tembak mati bukan penyelesaian

Death row for Australian Myuran Sukumaran and Andrew Chan
Latihan skuad penembak mati di penjara Nusakambangan, Denpasar,Bali, Indonesia sebelum hukuman dijalankan ke atas lapan individu pada 28 April lalu (Gambar rappler.com)

Oleh CHARLES SANTIAGO 


Kejam dan gasar. Itu kalimah yang paling sesuai bagi menjelaskan hukuman tembak mati terhadap lapan pengedar dadah di Indonesia semalam.

Presiden baru Indonesia, Joko Widodo tanpa banyak fikir menolak rayuan pengampunan kerana percaya bahawa dadah menghancurkan dan mengacau-bilaukan negaranya.

Saya percaya kehidupan golongan remaja yang terpengaruh dengan rakan sebaya telah dimusnahkan dengan dadah. Namun, hukuman mati bukannya penyelesaian, dan ia tidak pernah dan tidak akan menjadi jalan penyelesaian.

Sepatutnya hukuman mati memerlukan moratorium, dan Malaysia juga harus tersenarai dalam usaha ini.

Dalam pengadilan ke atas lapan banduan akhir dari Australia, Brazil, Nigeria dan Indonesia itu, Jokowi tidak mempedulikan dakwaan rasuah terhadap beberapa hakim dan saksi.

Pihak kerajaan Australia sendiri merayu agar pelaksanaan hukuman tembak itu ditangguhkan sehingga prosiding dijalankan di bawah Mahkamah Perlembagaan dan Jawatankuasa Kehakiman selesai sepenuhnya.

Pendengaran awal sedang dibuat di Mahkamah Perlembagaan Australia dijadualkan pertengahan Mei, pastinya relevan berhubung kes dua warga Australia tersebut.

Namun pelaksanaan hukuman mati telah dibuat, dan apa akan Jokowi lakukan jika akhirnya prosiding itu nanti memihak kepada dua warga Australia dan didapati tidak bersalah?

Ketika Jokowi berkempen untuk menjadi Presiden Indonesia, warganya memandang tinggi dan menganggap beliau sebagai seorang calon progresif dan sederhana.

Nampaknya setelah beberapa bulan, dia jatuh merudum. Saya sendiri berharap sikapnya yang keras menolak pengampunan lapan banduan akhir itu bukanlah atas dasar mendapatkan kembali sokongan terhadapnya yang semakin berkurangan, atau kononnya untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa dia seorang yang tegas..

Hukuman mati oleh skuad menembak adalah keterlaluan. Jika ia berdasarkan kepentingan survival politik Jokowi, ini adalah suatu hal yang amat memalukan.

Populariti Jokowi menurun apabila beliau melantik seorang yang mempunyai kes rasuah sebagai ketua polis, selain penghapusan subsidi bahan api di negaranya.

Apabila hampir tiga perempat dari rakyat Indonesia menunjukkan sendiri rasa tidak puas hati terhadap Jokowi, presiden republik itu mula meletakkan perhatiannya terhadap isu nasional untuk mendapatkan kembali sokongan.

Ini termasuk tindakan keras terhadap nelayan asing dan keldai dadah.

Sekarang kita hanya dapat berharap agar Jokowi melakukan perkara yang betul dengan membebaskan Mary Jane Veloso, yang terlepas hukuman tembak apabila penipu yang menjadikannya keldai dadah menyerah diri kepada polis.

Mary Jane tidak mengetahui bahawa beg yang diminta untuk dibawa ke negara itu mempunyai dadah di lapisan dalam beg itu. Dia adalah seorang mangsa pemerdagangan dan mesti dibebaskan dari apa-apa hukuman.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya memahami usaha pembasmian dadah di Indonesia.
Tetapi Jokowi seharusnya melihat strategi baru- seperti mengadakan operasi besar-besaran di rantau ASEAN untuk memerangi kartel dadah, pemerdagangan manusia dan jaringan antara negara termasuk membasmi korupsi dalam pasukan polis bagi menyelesaikan isu ini.

Dan pastilah skuad menembak mati pesalah bukanlah jawapannya. – Roketkini.com

(^)  Dr Charles Santiago adalah Ahli Parlimen Klang


Tiada ulasan: