Isnin, 27 April 2015

Mustafa enggan ulas, PasMa 'tunggu' pemilihan PAS sebelum buat keputusan

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali enggan mengulas kenyataan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) semalam bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan menunggu sehingga Jun depan sebelum memutuskan akan menjadi parti politik atau tidak.
 
Malah, Mustafa menegaskan beliau tidak ada kena mengena pengumuman Datuk Phahrolrazi Zawawi itu.
 
"Saya tak tahu, saya tak nak komen dan saya tak ada kena mengena dengan PasMa. Itu dia punya hal," katanya kepada Antarapos.
 
Pahrolrazi ketika ucapan penggulungan konvensyen kali pertama NGO di Shah Alam berkata terdapat desakan yang kuat agar PasMa dinaik taraf menjadi sebuah parti politik.
 
Desakan itu dipertimbang pucuk pimpinan persatuan itu, namun akhirnya ia tetap bergantung pada perkembangan politik dalam Pakatan Rakyat terutama melibatkan PAS. ujar Phahrolrazi.
 
Sehubungan itu, PasMa akan membuat keputusan itu pada Jun depan.
 
Tidak dapat dipastikan adakah PasMa sengaja menunggu sehingga Jun ekoran PAS mengadakan pemilihan partinya.
 
Pemilihan PAS kali ini dijangka hangat apabila dikatakan bakal berlaku pertembungan antara kelompok ulama dengan golongan profesional yang dilabel banyak pihak sebagai lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat.
 
Jika dilihat keputusan pemilihan PAS di beberapa kawasan di seluruh negara setakat ini, golongan ulama mempunyai peluang cerah sebaliknya golongan profesional dilihat ditolak ahli akar umbi.
 
Banyak analisis yang dibuat setakat ini tidak menolak golongan profesional yang kalah teruk pada pemilihan PAS kali ini tidak mustahil untuk menyertai PasMa, untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.
 
 

Tiada ulasan: