Abu Bakar Yahya Abu Bakar Yahya
 
 
 
SHAH ALAM - Perkasa Selangor desak kerajaan negeri merujuk undang-undang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan rakyat di sebalik isu gereja di Taman Medan, Petaling Jaya yang mendapat bantahan penduduk sekitar baru-baru ini.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, merujuk kenyataan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perhubungan Bukan Islam Selangor, Elizabeth Wong bahawa premis komersil yang dijadikan tempat ibadat tidak memerlukan permit, ia seolah-olah dibuat tanpa merujuk dari segi perundangan.

“Kenyataan Exco Selangor itu agak janggal malah bertentangan dengan kenyataan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)  yang menegaskan bahawa mana-mana pusat ibadat yang beroperasi di premis komersil di kawasan MBPJ supaya mematuhi Akta 133 Seksyen 70 (12),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Abu Bakar, akta berkenaan menetapkan sesiapa yang menggunakan sesuatu bangunan atau bahagian bangunan bagi sesuatu maksud tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT, boleh didenda tidak melebihi RM25,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM500 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

“Sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Elizabeth sepatutnya merujuk terlebih dahulu dari sudut undang-undang yang terpakai dalam isu gereja berkenaan sebelum menyalahkan mana-mana pihak di sebalik bantahan masyarakat Islam di kawasan itu sebelum ini.

Sebelum ini Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria itu turut mendedahkan gereja terbabit tidak mempunyai permit dan tidak pernah membuat permohonan bertulis kepada PBT untuk menjalankan aktiviti keagamaan di premis berkenaan.