BN, PKR janjikan saingan sengit Kempen anti GST menjadi fokus PR dalam PRK Permatang Pauh dan kempen balas mengenai GST oleh BN.
 
 
 
PERMATANG PAUH - Atas kertas undi ada nama empat calon yang menawarkan diri dalam PRK Permatang Pauh tetapi saingan sengit dilihat lebih menjurus kepada BN dengan PKR.

PKR menampilkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - nama yang sudah dikenali dalam persada politik tanah air dengan menerajui parti itu sejak ditubuhkan pada 1999.

Sebut sahaja Kak Wan, semua orang kenal dan tahu siapa dirinya. Mewakili Permatang Pauh hampir tiga penggal di Parlimen dan menggalas tugas ketua pembangkang sebelum ini.

Setiausaha Umno Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin pula menjadi taruhan BN dalam saingan kali ini sebagai memenuhi cita rasa anak muda yang memerlukan lebih banyak suara mereka didengari oleh kerajaan.

Anak tempatan dari Guar Jering ini memikul amanah besar jika terpilih sebagai YB kelak kerana diberi tanggungjawab membangunkan semula kawasan itu dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan projek pembangunan.

Calon Bebas, Salleh Isahak, anak tempatan dan lebih memberi fokus kepada aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan ke arah melahirkan insan berilmu, berakhlak dan beriman.

Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman juga anak tempatan tetapi masih belum tampil di hadapan orang ramai atau turun padang berkempen.
Personaliti ini kurang dikenali penduduk tempatan walaupun dikatakan dibesarkan di Permatang Pauh.

Timbul sedikit kontroversi apabila penampilan calon ini yang tidak disokong oleh PRM negeri di mana mereka menyuarakan sokongan kepada calon dari  PKR.

Lebih 72 jam kempen berjalan, belum nampak siapa yang akan menjadi 'juara' dalam perebutan kali ini kerana masing-masing masih mempunyai kira-kira 208 jam lagi untuk bertarung dalam kempen dan terus merayu undi dari lebih 70,000 pengundi berdaftar.

Dilihat kepada gerak kerja jentera pilihan raya parti, kemampuan BN dan PKR nampak seimbang setakat ini walaupun kehadiran orang ramai belum boleh menjadi ukuran sebenar calon yang menjadi pilihan mereka.

Dari segi ceramah, banyak isu yang dibangkitkan pemimpin PR agak panas berbanding BN. Mungkin lebih mudah bercakap dari mencari kesalahan parti lawan berbanding cadangan bernas untuk menyelesaikannya.

Kadang-kadang bila banyak bercakap, akan nampak kelemahan sendiri. Contoh dalam isu GST yang menjadi fokus utama PR dalam kempen apabila menyalahkan kerajaan melaksanakan cukai itu hingga membebankan rakyat.

Pelbagai makna diberi kepada GST - gasak sampai tersungkur, gosok sampai terlena, godam sehingga terbeliak - semata-mata untuk menunjukkan rasa geram terhadap langkah terbaharu kerajaan meningkatkan hasil pendapatan.

Tetapi PKR lupa, pemimpin mereka pernah menyebut mengenai kebaikan GST dan akan melakukan perkara yang sama jika berjaya mengambil alih Putrajaya.
Calon kitar semula sering kedengaran apabila berlaku PRK atau pilihan raya umum.

Yang menjadi sasaran ialah BN kerana masih menampilkan calon lama atau veteran dengan alasan masih dikehendaki rakyat atau calon boleh memang.

Inilah modal dan kempen PR dengan menyatakan BN ketandusan pemimpin berbanding pakatan pembangkang memberi peluang kepada golongan pelapis  bertanding dalam pilihan raya.

Tetapi kali ini, tempias itu kembali kepada PKR yang dianggap mengemukakan calon kitar semula apabila menampilkan calon lama yang sudah meletak jawatan sebelum ini dengan alasan tersendiri.

Sebaliknya BN kali ini memberi peluang kepada muka baharu dan yang masih muda untuk menjadi wakil di Permatang Pauh dengan harapan mampu membawa suara anak muda yang penuh dengan idea dan inovasi kreatif bagi membangunkan kawasan ini yang agak ketinggalan dari arus pembangunan semasa.

Kini, terserah kepada kebijaksanaan jentera pilihan raya parti masing-masing merayu pengundi memilih calon mereka kerana persaingan masih terbuka dengan isu yang agak setara antara BN dan PKR.