Rabu, 29 April 2015

Ella: Masyarakat belum sedia dengan GST

MALAYSIAKINI


 


Ratu Rock Ella mengakui masyarakat belum bersedia dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan bermula awal bulan ini.

“GST ini mungkin ada kebaikan, tetapi kita ini diberi masa (bersedia) yang tidak cukup.

“Maknanya kita kena warm up dulu sampai masyarakat faham, kemudian baru lancarkan,” katanya kepada Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam.

Tambahnya, pelaksanaan cukai itu, yang masuk hari ke-29 hari ini, seperti dibuat secara tiba-tiba.

“Tidak cukup masa, macam tiba-tiba,” kata Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin.

Ella bukan selebriti pertama tampil menyuarakan perasaan tidak selesa itu.

Sebelum ini, pelakon, model dan pengacara Rozita Che Wan (kiri) juga telah menyatakan kebenciannya terhadap pelaksanaan GST secara terbuka.

Lebih mesra dengan panggilan Che Ta, beliau menyatakan bantahan halus itu melalui penggunaan hashtag #bencigst di Instragram ketika menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir, bekas perdana menteri keempat sebelum ini mengeluh “keseorangan” mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lagu baru, rahsia kecantikan

Sementara itu Ella juga akan kembali mewarnai kariernya dengan pelancaran single terbaru berjudul “Istimewa” dan “Sujud” esok.

Album penuh akan dilancarkan Jun ini dan penggambaran klip video akan dibuat di kota London.

Ditanya mengenai keistimewaan lagu baru itu, Ella menjelaskannya sebagai “lagu berunsurkan ketuhanan dalam versi Ella’”.

Ella juga kini cuba menceburi bidang perniagaan dengan produk kecantikan berasaskan rahsia turun temurun keluarganya.

Dinamakan “Lameya”, produk itu mengandungi bahan berkhasiat seperti minyak ikan kod, habbatus sauda dan buah zaitun.

“Lameya bermaksud bijaksana, cantik dan berseri. Ia makanan Sunah. Ella dah pakai produk ni bertahun sejak dari mak lagi,” katanya


Tiada ulasan: