Oleh Timmy Say
Cukai barangan dan perkhidmatan atau GST, yang diperkenalkan pada 1 April lalu kini menimbulkan pelbagai ketidakpuasan hati kepada kerajaan. Tetapi, apakah sebenarnya masalah terbesar kerajaan dalam GST?
Masalah pertama ialah jurucakap GST – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.
Kedua-dua jurucakap GST untuk Putrajaya mempunyai masalah yang sama iaitu keengganan mereka mengakui hakikat GST akan menaikkan harga barangan dan semua lapisan terkesan dengan kenaikan itu.
Kerana tidak mahu mengaku hakikat tersebut, maka timbullah pelbagai kenyataan kontroversi seperti GST hanya terkena pada orang kaya, GST tidak membebankan rakyat, GST tidak terkena pada kad prabayar dan sebagainya.
Hujah mereka tidak dapat diterima rakyat kerana ilusi yang digambarkan bertentangan dengan realiti yang dialami mereka.
Apabila ini berlaku, rakyat terasa tertipu kerana hakikatnya mereka terpaksa membayar lebih. Rakyat mendapat duit poket pula semakin kurang. Ramai yang bekerja pula tiada masa untuk memasak sendiri. Ini menyebabkan keyakinan kepada Barisan Nasional (BN) juga terjejas termasuklah imej perdana menteri.
Oleh itu, dan barangkali, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mencari jurucakap yang lebih baik untuk GST.
Menteri Sukan dan Belia Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri diJabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dilihat antara calon yang dilihat sesuai. Meskipun mereka barangkali mengeluarkan hujah sama, tapi sekurang-kurangnya mereka dilihat berilmu di mata rakyat.
Masalah kedua di dalam GST ialah ketidakupayaan Putrajaya menunjukkan kemampuan mengawal belanjanya.
Apabila rakyat di situasi sempit, sepantas kilat kerajaan akan mengingatkan rakyat supaya hemah berbelanja.
Malah perdana menteri sendiri menasihatkan rakyat Malaysia menggunakan sepenuhnya kuasa mereka sebagai pengguna dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada peniaga sengaja mengambil kesempatan di sebalik GST.
Merdunya nasihat sedemikian. Bagaimana pula di peringkat kerajaan?
Apakah kerajaan selalu mendapatkan pembelian yang paling menjimatkan wang rakyat tatkala duit tidak cukup dan hutang bertimbun?
Apakah ada saranan kepada semua menteri dan jabatan kerajaan untuk mengurangkan belanja, mengurangkan lawatan ke luar negara dan juga mendenda dengan tegas kepada nama-nama jabatan yang muncul dalam laporan tahunan audit negara?
Tindakan kerajaan meluluskan usul peruntukan tambahan sebanyak RM2.2 bilion ketika hanya di bulan Mac menyebabkan rakyat tertanya di hati:“Mengapalah kerajaan ini hanya pandai menasihatkan kita, tapi tidak pandai pula menasihatkan diri dan mengaplikasikan nasihat itu sendiri?”
Kerajaan perlu sedar ini juga penyumbang terbesar kepada tentangan rakyat pada GST sebelum terlambat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan