Isnin, 27 April 2015

Muhyiddin jadi penentu

 
Tan Sri Muhyiddin dijangka akan menyatakan pendirian selepas PRK Rompin dan Permatang Pauh


muhyiddin_29_600


PETALING JAYA: Pendirian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penentu kepada usaha Tun Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Beliau beberapa kali telah membuat kenyataan bahawa Timbalan Presiden UMNO itu, paling layak untuk menjadi pengganti.

Sokongan yang sama juga disuarakan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudddin juga menyebut nama Muhyiddin sebagai tokoh yang paling layak menduduki jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam.

Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdiam diri dan tidak menyatakan dengan jelas arah mana yang dipilih sama ada terus bersama Najib atau menyahut permintaan Dr Mahathir.

“Lebih lama Tan Sri Muhyiddin Yassin berdiam diri, lebih sukar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana “kerosakan” yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlalu buruk dan memakan masa untuk dipulihkan,” tulis Shahbudin Husin dalam blognya.

Mengulas lanjut perkara yang sama, dia berkata, tiada sebab untuk Muhyiddin berlengah dan bermain dengan masa untuk menyatakan pendiriannya kerana jika terus berdiam diri ia menggambarkan seolah-olah hanya Dr Mahathir saja yang mahukannya sedangkan beliau sebaliknya.

Dalam tulisannya di shahbudindotcom.blogspot.com, bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa berharap Muhyiddin akan akan menyatakan pendiriannya selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, awal bulan depan.

“Beliau tidak harus berlengah lagi kerana sikap dan pendiriannya mungkin boleh mempercepatkan “ombak bertukar menjadi gelombang,” katanya.

Sebagai calon yang paling layak, Dr Mahathir member jaminan akan terus bersama-sama beliau bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN sekaligus menjamin kemenangan kerajaan pada pilihan raya umum yang akan datang.

Bekas Perdana Menteri juga melahirkan keyakinannya bahawa Muhyiddin tidak akan mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh pentadbiran Najib selama ini.

“Saya yakin kalau dia naik, dia takkan buat benda macam itu. Dia tahu kalau buat macam itu, dia pun akan kena macam ini juga,” kata Dr Mahathir dalam Program Bicara Negarawan di Taman Malawati pada Sabtu.

Tiada ulasan: