MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak layak mendapat pujian atas
ketegasannya terhadap penunjuk perasaan antisalib, yang berpotensi
menjadi tidak terkawal.
Langkah itu berbeza sama sekali dengan kritikan lambat bertindak yang dilontar padanya sebelum ini.
Najib juga berkata pihak polis akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan bawah Akta Hasutan 1948.
Rakyat Malaysia selama ini merasakan negara ini kurang kepimpinan,
dengan pemimpin kanannya lebih pentingkan keputusan pilihan raya
berbanding tugas sebagai wakil mereka.
Dalam kes ini, Najib bertindak pantas bagi menyelakkan masalah sedia ada
membarah, sekali gus mungkin dipergunakan untuk kepentingan sesetengah
pihak.
Bagaimanapun, menggunakan Akta Hasutan mungkin bukan pilihan terbaik.
Ini memandangkan pengamalannya selama ini yang terdedah kepada salah guna kuasa, terutamanya bagi mengekang kebebasan bersuara.
Kenapa tak Kanun Keseksaan
Persoalannya, kenapa penduduk Taman Medan, Petaling Jaya tidak disiasat
bawah Kanun Keseksaan, yang mempunyai peruntukan cukup untuk menangani
kes-kes sebegitu?
Sementara itu, Najib juga harus menyatakan ketegasan sama terhadap Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang kini terpalit dakwaan
menguatkuasakan undang-undang secara terpilih.
Ramai pihak membangkitkan, apabila melibatkan pemimpin pembangkang dan
aktivis, polis bertindak cukup pantas, termasuk isu melibatkan status di
Twitter.
Suspek pula selalu terpaksa bermalam di lokap atas alasan melengkapkan siasatan.
Khalid juga memberi amaran keras supaya orang ramai tidak terus
membangkitkan perkara berkaitan agama dan kaum yang boleh membangkitkan
ketegangan dalam negara.
Tetapi dalam kes Taman Medan, Khalid akhirnya mengambil pendekatan berbeza.
Malah, sebelum siasatan bermula dan kenyataan dirakamkan, Khalid dilihat
sudah membersihkan mereka, termasuk abangnya yang terlibat Datuk
Abdullah, daripada kesalahan hasutan.
Tafsiran pelik
Bagi Khalid, perhimpunan penduduk yang mendesak penurunan salib di gereja itu, hanya perhimpunan sebentar atau flashmob.
Khalid juga membuat tafsiran pelik, bahawa penunjuk perasaan itu tidak
menyentuh isu agama, sebaliknya cuma bantahan tentang kedudukan gereja.
Tetapi beberapa jam selepas itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil dengan pendirian berbeza.
Tetapi semua itu tidak cukup, Najib harus menegur ketua polis negara.
Beliau juga, sebagai presiden Umno, harus memastikan anggota partinya yang terlibat diheret ke lembaga disiplin untuk diadili.
Walaupun Umno kelihatan menjarakkan dirinya daripada perhimpunan hari
minggu lalu, sukar untuk menutup hakikat bahawa Abdullah seorang
pemimpin cawangan kawasan itu dan Munaliza Hamzah pula calon BN Taman
Medan dalam pilihan raya umum lalu.
Najib harus tampil membuat sesuatu untuk generasi akan datang. Ketepikan sebentar soalan pilihan raya umum.
Menanam tebu di pinggir bibir sahaja tidak cukup untuk itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan