Khamis, 23 April 2015

Tindakan 13 ADUN PR Negeri Sembilan biadap, kata penganalisis

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tindakan kesemua 13 ADUN Pakatan Rakyat tidak memberi sebarang respon terhadap titah ucapan perasmian DUN Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar (YDPN), Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah biadap serta tidak matang dalam berpolitik.
 
Malah, Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UMK), Prof Datuk Dr. Ramlah Adam menyifatkan tindakan kesemua wakil rakyat itu sebagai tidak bertamadun.
 
"Saya rasa mereka ini semua tak matang, tak profesional, tak bertamadun, tak beradap. Sudah tentu (adakah kesemua 13 ADUN PKR dan DAP mahu bersikap biadap dan tidak matang dalam berpolitik), saya rasa dia tidak hormat pemerintahan negeri dan bukan institusi Raja sahaja. Pemerintahan negeri adalah Sultan dan Raja serta ada YDP.
 
"Bila ditolak macam itu makna dia tak hormat, tak peduli," tegasnya kepada Antarapos. 
 
Ujar Ramlah lagi, tindakan pemimpin pembangkang ini bukan sahaja menimbulkan kebencian rakyat kepada sistem berpelembagaan.
 
Lantas, Ramlah mempersoalkan kerajaan bagaimanakah yang akan diwujudkan oleh pemimpin pembangkang jika mereka sendiri berpegang kepada sistem Pelembagaan Negara.
 
"Mereka telah menimbulkan kebencian pada orang yang percaya pada sistem. Tapi kalau mereka yang tak percaya pada sistem apa jenis kerajaan yang hendak dibuat?
 
"Adakah mereka hendak memerintah ikut suka dia orang sahaja dengan ketepikan pemerintahan Sultan...mana boleh. 
 
Ramlah juga turut mempersoalkan apakah wakil rakyat pembangkang sengaja mahu memperlihatkan keberanian mereka dengan tidak mempedulikan perlembagaan negara.
 
"Biadaplah, tak pernah berlaku dalam sejarah negara. Adakah itu hendak menunjukkan mereka ini berani atau nak tunjuk ketidakpedulian mereka dengan sistem (Negara Berpelembagaan)," soalnya.
 
Tegas Ramlah, beliau bimbang dengan sikap yang ditonjolkan pemimpin pembangkang ini kerana ia bukan sahaja akan menimbulkan huru-hara didalam negara bahkan bakal membuat keputusan yang salah dalam pentadbirannya seperti mana yang berlaku di Selangor kini. 
 
"Saya rasa ini sikap tak bertanggungjawab dan bila jadi kerajaan dia akan menimbulkan keadaan huru-hara serta membuat keputusan-keputusan yang salah seperti mana di Selangor sekarang (isu air) sekejap betul, sekejap tarik balik, sekejap mahu berunding...tak malu ke?
 
"Saya rasa dia orang tidak efisen, tak layak jadi pemerintah," ujarnya.
 
Selangor sebelum ini bermain tarik tali dengan kerajaan Pusat berhubung isu perjanjian air. Sehingga kini status perjanjian air itu menjadi tanda tanya walaupun menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTha), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili tempoh memuktamadkan perkara itu kan berakhir hujung bulan ini.
 
Justeru, menurut Ramlah apa yang berlaku kini adalah isyarat kepada rakyat agar tidak terus menerus memilih pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta tidak beretika.
 
"Saya rasa ini signal kepada rakyat. Sepatutnya rakyat memilih orang yang lebih bertanggungjawab, amanah, beretika dan bertamadun untuk jadi wakil mereka.
 
Untuk rekod inilah kali pertama dalam sejarah sidang DUN Negeri Sembilan, titah ucapan YDPN tidak disokong atau ditolak ADUN pembangkang negeri itu.
 
 

Tiada ulasan: