Khamis, 30 April 2015

Dr M: BN tak perlu bantuan saya dalam PRK

MALAYSIAKINI


 


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat BN tidak memerlukan bantuannya dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Bagaimanapun, beliau berpandangan BN berpeluang menang kerusi parlimen tersebut ekoran perselisihan berhubung isu hudud yang melanda Pakatan.

"Saya tak fikir mereka (BN) perlukan bantuan saya. (Tetapi) saya fikir mereka mempunyai peluang untuk menang.

"Sebab isu hudud, PKR tak sokong. Jadi PAS mungkin tidak akan bantu.

"Maka ia boleh beri peluang (pada BN)," katanya dalam sidang media selepas program Cakna Ilmu di USM Pulau Pinang.

Selain itu, ditanya mengenai calon BN di Permatang Pauh, Mahathir berkata, beliau tidak mengenali Suhaimi Sabudin, tetapi yakin dia merupakan pilihan yang bagus.

"Saya tak kenal dia. Tapi saya baca dia calon yang bagus saya harap BN menang," katanya.

Ditanya mengenai pencalonan kali kedua Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon kawasan itu, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, PKR merupakan sebuah parti "keluarga".

Malah, katanya penubuhan parti itu juga hanya untuk menguruskan "parti keluarga" itu.

"PKR memang akan selalu mendahulukan ahli keluarga. Parti itu hanya ditubuhkan untuk memberikan sokongan kepada parti keluarga itu," kata Mahathir ringkas.

Sementara itu, di program Cakna Ilmu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM itu, Mahathir hanya menyentuh mengenai latar belakang hidupnya serta memberi pandangan mengenai pengalamannya selaku bekas perdana menteri.

Program yang dihadiri kira-kira 2,000 pelajar ini juga sedikit berbeza berbanding sebelum ini apabila beliau langsung tidak menyentuh tentang kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beliau hanya menyentuh mengenai betapa pentingnya pemimpin dalam sesebuah organisasi supaya tidak hanya bergantung harap pada perkara lain.

"Saya biasa lihat sekolah di seluruh negara. Ada sekolah yang maju dan apabila dikaji saya dapati kepimpinan dalam sekolah itu ialah kepimpinan terbaik. Ada idea, pengetahuan. Sedangkan sistem sekolah sama seluruh negara.

"Ada sekolah yang maju dan yang tidak. Jadi orang yang memimpin itu memainkan peranan yang besar," katanya menjawab soalan moderator sama ada perlunya kuasa autonomi sesebuah universiti untuk menaikkan kualiti sesebuah institusi.


Tiada ulasan: