Roketkini.com
GEORGE TOWN – Akhbar lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia sekali lagi berhadapan tindakan undang-undang berikutan satu laporannya yang didakwa memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, melalui peguamnya hari ini mengemukakan notis tuntutan kepada Utusan Malaysia supaya menarik semula laporan yang mendakwa kononnya tanah wakaf di Pulau Pinang berada di bawah pengawasannya.
Notis tuntutan tersebut memberi tempoh 24 jam supaya Utusan menarik balik, meminta maaf dan membayar ganti rugi RM1 juta dalam tempoh tujuh hari atas fitnah tersebut.
Rencana bertarikh 10 April 2015 itu antara lain menyebut, “Bagi tanah wakaf pula, sekarang diletakkan di bawah pengawasan Ketua Menteri.
“Sebarang cadangan membangunkannya mesti mendapat kelulusan beliau. Sedangkan pengurusan tanah-tanah wakaf itu sepatutnya diserahkan kepada majlis agama negeri seperti mana pada era pentadbiran BN.”
Tulisan oleh Zulkifli Jalil, yang turut dinamakan dalam notis tuntutan tersebut disiarkan pada halaman 9 akhbar terbabit, serta portal Utusan Online.
Dakwaan terhadap Guan Eng timbul dalam kehangatan kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh itu ditepis Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang sendiri, Datuk Mohd Salleh Man sambil menegaskan bahawa MAIPP satu-satunya pemegang amanah tanah wakaf.
Dalam sidang media bersama Ketua Menteri, Salleh Man menjelaskan bahawa semua cadangan berkenaan tanah wakaf hendaklah diputuskan oleh MAIPP selepas mendapat cadangan sebuah jawatankuasa yang tidak dianggotai oleh Ketua Menteri. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan