Isnin, 27 April 2015

Noh beri bayangan tidak bertanding PRU14

 
Pengalaman beliau berkhidmat di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri akan digunakan untuk berkerjasama dengan pemimpin UMNO bagi merampas semula Negeri Selangor Pada PRU14.


Noh-Omar_600


PETALING JAYA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar membayangkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Beliau yang menyambut Ulang Tahun ke-20 sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kerjayanya dalam bidang politik sudah sampai ke kemuncaknya.

Katanya, pengalaman berkhidmat di bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri akan digunakan untuk berkerjasama dengan pemimpin UMNO bagi merampas semula Negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Bagi tujuan itu, katanya, UMNO Selangor sedang menyusun strategi untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir negeri itu selepas PRU14.

“Karier politik saya sudah sampai ke kemuncaknya dan berpengalaman berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri.

“Insya Allah dengan pengalaman yang ada, saya dengan kerjasama pemimpin dan ahli UMNO Selangor sedang menyusun strategi untuk pastikan BN kembali memerintah di Selangor dalam PRU14 nanti,” tulisnya di Facebook bagi mengucapkan terima kasih di atas sokongan sepanjang 20 tahun sebagai Ahli Parlimen Tanjong Karang.

Beliau mengambil kesempatan itu mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan rakan-rakan di atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

Noh turut menceritakan sejarah penglibatannya dalam politik yang bermula sebagai Ahli Parlimen biasa pada 1995, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (1999) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Pelajaran di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004.

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau pernah menjadi Menteri Pembangunan Usahawan, Menteri Pertanian dan Asas Tani dan kini sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor bertaraf Menteri penuh.

Pengguna Facebook mengambil peluang itu untuk mengucapkan tahniah dan memuji Noh.
“Tahniah DS Noh! Pemimpin Terbaik! Anak kampung Tg Karang yg sentiasa disayangi masyarakat,” tulis Nahar Ahmad.

“Tahniah dato seri, kami warga agensi MOA amat senang hati semasa dato seri menjadi menteri…tidak byk karenah..mudah mesra dengan pegawai atau kakitangan bawahan..” puji Rihal Mat Isa.

Selain reaksi yang memuji Noh, terdapat juga pengguna Facebook yang memberi komen berbentuk provokasi.

“Semoga penggal ini adalah penggal terakhir buat dsno…amin,” tulis Azam Azhari.

“Kalau Datuk masih jadi macai yang tidak membela rakyat, anggap jelah ini yang terakhir,” tulis Afad Ali.

Tiada ulasan: