Isnin, 13 April 2015

Pengguna kenderaan masih berdegil


Pengguna kenderaan masih berdegil Penunggang motosikal berkuasa tinggi turut diperiksa dalam Ops Roda
 
 
 
JITRA - Sebanyak 138 saman dikeluarkan kepada pengguna yang berdegil tidak mahu menggunakan nombor plat mengikut spesifikasi ditetapkan dalam Ops Roda di Kilometer 30.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Utara) berhampiran Plaza Tol Jitra di sini, kelmarin.

Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Lebuh Raya Bukit Aman, Deputi Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata,  pihaknya memandang serius kesalahan tersebut kerana secara tidak langsung membuktikan golongan itu tidak menghormati undang-undang yang sudah ditetapkan.

“Apabila kita tahan, mereka (pengguna kenderaan) sering berikan alasan tidak tahu dan mendakwa ia dipasang di kedai oleh peniaga.

“Alasan ini dianggap remeh dan tidak boleh diterima pakai kerana perkara ini sering diwar-warkan melalui pelbagai kempen dan media massa sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas operasi tersebut.

Mustafa berkata, pihaknya turut mengenal pasti ramai pemilik motosikal berkuasa besar dan kereta mewah melakukan kesalahan itu kerana beranggapan nombor plat adalah aksesori yang boleh diubah suai sewenang-wenangnya.

“Memiliki nombor plat yang kecil dan fancy seakan menjadi satu trend kerana golongan ini mahu kenderaan mereka nampak cantik.

“Bagaimanapun, kita tidak akan berkompromi dalam soal ini dan operasi sama akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa supaya mereka sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Sementara itu, operasi yang bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang itu disertai enam pegawai dan 19 anggota dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu serta dibantu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, sebanyak 257 saman dikeluarkan dalam operasi itu melibatkan pelbagai kesalahan.

“Selain nombor plat, terdapat juga kesalahan tiada lesen memandu dan tamat tempoh (32), tiada cermin sisi (4), tidak pamer pelekat L (2) dan tiada lampu brek (2).

“Kita turut menyita sebuah motosikal kerana pemiliknya tidak mempunyai lesen dan cukai jalan,” katanya.

Tiada ulasan: