Rabu, 15 April 2015

1MDB: DAP gesa polis siasat segera Jho Low dan Najib

najib-jho-low

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyeru Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan penuh dan lengkap tanpa rasa takut atau pilih kasih untuk menghukum mereka yang terlibat dalam skandal hutang RM42 bilion 1MDB.

“Mengapa (ahli perniagaan) Jho Low dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dipanggil oleh polis untuk dijalankan siasatan ke atas mereka, tanpa rasa belas kasihan seperti yang mereka lakukan terhadap pemimpim pembangkang dan aktivis?” soalnya.

Tony berkata, Low tidak boleh ‘cuci tangan’ daripada kontroversi yang melibatkan dirinya berhubung hutang 1MDB berbilion ringgit walaupun mendakwa tidak terlibat.

Katanya, tindakan Low yang menyalahkan prestasi teruk 1MDB ke atas bahu Najib hanya separuh benar.

Low dipetik menyatakan bahawa tanggungjawab itu dipikul Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

“Malah, adalah menarik dan memberi gambaran jelas bahawa dia seolah-olah tahu keputusan dalam 1MDB telah dibuat melalui ‘resolusi pemegang saham’, yang ditandatangani oleh menteri itu sendiri.

“Tapi Low hanya separuh benar, kerana dia juga tidak boleh ‘cuci tangan’ dalam isu 1MDB, terutama selepas pelbagai email yang melibatkan dirinya, PetroSaudi dan 1MDB didedahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Low dalam wawancara bersama majalah kewangan antarabangsa Euromoney dilaporkan berasa kecewa dipersalahkan sebagai punca skandal kewangan 1MDB.

Beliau bagaimanapun berkata, dirinya semestinya adalah ‘orang paling dungu’ jika memperoleh hasil wang kerajaan dan membelanjakannya untuk parti mewah.

Low dalam temubual di Hong Kong itu turut menyalahkan UMNO kerana menjadi dalang cuba memutarbelitkan isu

Sarawak Report baru-baru ini mendedahkan bahawa Low merancang usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi pada 2009 bagi melarikan AS$700 juga dari syarikat pembangunan strategik itu.

PetroSaudi juga didakwa dijadikan sebagai alat apabila syarikat Good Star yang dikawal Low menerima AS$160 juta (RM589 juta).

Pendedahan tersebut sekaligus memaksa Najib mengarahkan Ketua Audit Negara memeriksa akaun 1MDB yang kemudian perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Najib dalam satu temubualnya dengan UK Sunday Times kemudiannya mendakwa beliau tidak terlibat dalam operasi harian 1MDB.

Beliau juga dalam jawapan bertulis di Parlimen bulan lalu, cuba membersihkan nama Low dengan mengatakan bahawa ahli perniagaan itu tidak mempunyai kaitan dalam sebarang urus niaga dan keputusan 1MDB.

“Adalah amat lucu untuk melihat bagaimana protagonis kini cuba untuk menyalahkan antara satu sama lain mengenai bencana besar 1MDB yang mengumpul hutang berjumlah RM42 bilion,” sindir Tony. – Roketkini.com


Tiada ulasan: