MALAYSIAKINI
Jarang menyentuh soal politik, penyanyi nombor satu negara Siti
Nurhaliza tampil mengejutkan dengan menyatakan sokongan terbuka pada Tun
Dr Mahathir Mohamad yang “keseorangan” mengkritik pentadbiran perdana
menteri.
Bagi penyanyi kelahiran Lipis, Pahang itu, perdana menteri 22 tahun itu
menyentuh hatinya kerana mengharungi pelbagai cabaran membangunkan
Malaysia sehingga terkenal di mata dunia.
“Love you Tun (Mahathir) dan sentiasa bersama Tun....
“Sejarah kepimpinan Tun mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan
membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata Dunia patut kita hargai
serta contohi.
“Tiada yang muda Kalau tidak kerana orang tua,” tulis Siti Nuhaliza di
akaun perkongsian gambar Instagram beliau yang mempunyai pengikut besar
1.4 juta orang.
Penyanyi lagu berentak irama Malaysia itu juga menggunakan hashtag #sayaanakMalaysia dan #sebak bagi menggambarkan perasaannya itu.
Beliau memuatkan grafik menunjukkan Mahathir sedang merenung ke arah
sesuatu dengan berlatar belakang 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).
Dimuatkan juga kapsyen “Saya sedar saya keseorangan”.
Belasan juta 'like'
Syarikat pelaburan negara itu antara perkara utama dibangkitkan Mahathir
ketika merancakkan asakannya kepada pentabiran Datuk Seri Najib Razak,
selain isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Status itu mendapat sokongan meluas peminatnya.
Setakat berita ini ditulis, seramai 17.2 juta orang menekan butang like dan hampir 700 komen dinyatakan.
“Saya sokong Dato' Siti. Tiada yang baru tanpa yang tua. Tun bercakap
ada sebabnya.... Fikir fikirkanlah,” komen seorang peminatnya dikenali
“shahrazak”.
Bagaimanapun, terdapat pengguna lain membangkitkan keraguan terhadap
sokongan terhadap Mahathir daripada pihak yang didakwa pernah “mengata
dan menghina” veteran politik itu.
“Saya pun sayang Tun idola... tapi ada yang mereka sebelum mengata dan
menghina Tun macam-macam... tapi tiba-tiba sokong Tun.... ada udang
sebalik mi?” soal “slizamiza”, tanpa menghuraikan lanjut.
Kebanyakan pengguna media sosial itu berkongsi pandangan sama dengan Siti, atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin.
Sehari sebelum status itu, Mahahir mengeluh dalam blognya bahawa beliau keseorangan ketika membangkitkan kritikan terhadap kepimpinan Najib.
Lagu 'Lelaki'
Bagi mewajarkan kritikannya itu, Mahathir berkata soalan berkaitan 1MDB
masih tidak berjawab dan ramai pihak masih bertanya kepadanya berkaitan
kes Alttantuya.
“Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah.
“Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah
kalau saya tanya,” soalnya dalam tulisan blog terbaru berjudul “Soal tak
jawab”.
Siti Nurhaliza, 36, sebelum ini pernah tampil dengan lagu mengisahkan perjuangan hebat “seorang lelaki”.
Karya berjudul “Lelaki” itu dispekulasi ditujukan kepada beberapa tokoh negara, termasuk Mahathir.
Sejak tampil kali pertama dalam bidang seni suara pada 1995, penyanyi
serba boleh itu telah menghasilkan 16 buah album dan menggondol lebih
200 anugerah dalam bidang muzik.
Isteri kepada ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K
itu juga mengasaskan produk kecantikan berjenama SimplySiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan