Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Timbalan-timbalan naib canselor universiti tidak sepatutnya dijadikan korban campurtangan politik, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk tindakan Putrajaya yang enggan menyambung khidmat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dan seorang lagi timbalan naib canselor Datuk Dr Rohana Yusof.
Kit Siang dalam kenyataanya hari ini berkata, mesyuarat kabinet Rabu depan perlu menarik semula keputusan keatas dua Timbalan Naib Canselor tersebut.
“Jika ada yang patut meletakkan jawatan, orang itu ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Canselor UM Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin,” kata Kit Siang.
Tegasnya, kedua mereka yang sebenarnya gagal smempertahankan staf akademik dan mahasiswa Universiti Malaya daripada campurtangan politik dari Putrajaya.
Malaysian Insider hari ini melaporkan kontrak tiga tahun Hamdi tamat 31 Disember lalu yang kini merupakan pensyarah biasa di Fakulti Kejuruteraan UM dikatakan bakal mengambil cuti sabatikal tidak lama lagi, manakala Rohana akan ditukar akibat insiden baru-baru ini yang melibatkan kebebasan pelajar.
Difahamkan keputusan tersebut dibuat kerana ketegasan kedua mereka tidak menyokong Umno dan ‘tidak tegas’ terhadap mahasiswa dalam kes pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di UM hujung tahun lalu.
Justeru itu, langkah Kementerian Pelajaran itu dilihat sebagai tragedi, lebih-lebih lagi UM yang suatu ketika dulu diiktiraf antara universiti utama dunia, namun kini ditinggalkan jauh universiti setaraf dengannya dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura dan Australia.
“Universiti mesti menjadi lapangan pertembungan idea dan bukannya tempat membungkam pemikiran. Ini semua demi negara, bagi memastikan kecemerlangan universiti dan persaingan yang berterusan, bukannya untuk kepentingan Umno atau Barisan Nasional.
“Tidak ada tanda-tanda Universiti Malaya akan kembali menduduki tangga berprestij dunia dari segi kebebasan dan kecemerlangan akademik yang pernah didudukinya sekitar empat puluh tahun lalu,” kata Kit Siang.
Tambahnya, institusi pengajian tinggi di negara ini seolah-olah ingin membentuk ahli akademik dan mahasiswa yang hanya menerima status quo tanpa kritikan dan persoalan.
“Terdapat usaha-usaha tanpa henti birokrat di Putrajaya (yang) mematuhi arahan tuan-tuan politik mereka untuk meneruskan projek pembodohan ke atas universiti dan mahu mereka meninggalkan idealisme.
“Hakikatnya (langkah ini) merompak idealisme dan idea-idea konstruktif golongan terpelajar dan generasi muda Malaysia,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan