KELAB GREENBOC
Pemimpin Umno persoal hukuman terhadap Mejar Zaidi
Seorang pemimpin Umno, Syed Rosli Jamalullail mempersoalkan hukuman yang dikenakan terhadap Mejar Zaidi Ahmad walaupun penjawat awam itu berbuat perkara betul dengan membuat laporan polis berhubung kelemahan dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Ketua penerangan Umno cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka Pandan itu berkata, TUDM lebih cepat menghukum Zaidi yang kesalahannya tidak serius berbanding kelemahan agensi keselamatan itu ketika kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
"Kenapa Mejar Zaidi diambil tindakan tegas sedangkan beliau cuma ingin melaporkan perkara yang benar mengenai kelemahan dakwat kekal yang digunakan oleh SPR semasa PRU13," kata Syed Rosli dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Kerajaan Indonesia lebih tegas dengan memecat 4 pegawai Pusat Kawalan Udara mereka yang bertugas semasa kejadian malang pesawat AirAsia QZ8501."
Zaidi pada Isnin dijatuhkan hukuman dengan ditamatkan perkhidmatan secara serta-merta selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Kol Saadon Hasnan berkata, hukuman berkenaan bukan berpunca daripada isu dakwat kekal.
"Ianya kerana dua kesalahan yang dilakukan kerana melanggar arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Angkatan Tentera Udara," kata Saadon.
Zaidi membuat laporan berhubung dakwat kekal pada 30 April, 2013 selepas mengundi dalam pengundian awal selepas mendapati dakwat kekal di jarinya hilang selepas dibasuh.
Susulan daripada laporan polisnya, pegawai TUDM itu diarahkan untuk berpindah ke Butterworth dan pada 7 Februari, 2014 beliau dilaporkan menerima 7 pertuduhan daripada Majlis Angkatan Tentera.
Syed Rosli yang pernah mencabar Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pemuda Umno turut membidas cara TUDM menangani kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac, 2014 dengan mengatakan sehingga kini tiada siasatan menyeluruh dilakukan.
Katanya, TUDM juga gagal mengesan kehilangan pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal itu terkeluar daripada radar.
Beliau berkata TUDM hanya mendedahkan pesawat itu berpatah balik selepas tiga hari meskipun ia dapat dikesan radar mereka.
"Betul, kita tidak boleh menyalahkan 100% pada pihak tentera udara Malaysia tetapi bukankah ini menjadi tanggungjawab mereka memantau ruang udara Malaysia terutama apabila ada pesawat penumpang yang melakukan pusingan semula merentasi Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang tanpa mendarat?"
Syed Rosli yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa TUDM memperbaiki kelemahan badan itu.
"Tidak boleh bayangkan apa akan terjadi dengan Malaysia jikalau ada pesawat perang asing yang masuk ke ruang udara Malaysia malahan lebih teruk mereka boleh mendarat secara haram tanpa diketahui oleh pihak tentera pun.
"Jangan diulangi lagi seperti apa yang pernah berlaku di Lahad Datu setahun yang lalu dan berubahlah semua pemimpin negara atau kami rakyat akan terpaksa mengubah kamu semua," katanya. -TMI
ULASAN GB
Telah menjadi satu hal yang diketahui umum bahawa UMNO itu sebagai parti yang akan menekan para pengkritiknya, waima pengkritik itu adalah dari kalangan pemimpin mereka sendiri dan apa yang dikritik itu adalah benar.
Contohnya ialah apa yang menimpa Datuk Khairuddin Abu Hassan, Naib Ketua Umno Batu Kawan yang sebelum ini membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), statusnya sebagai seorang yang muflis didedahkan dan rumahnya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, dilelong.
Begitu juga dengan Tun Mahathir dan Daim Zainuddin. Kerana menegur kepimpinan Najib, kedua-dua bekas pemimpin tertinggi UMNO itu telah diserang habis-habisan oleh media UMNO seperti TV3 termasuklah blogger-blogger hingusan (pinjam istilah A Kadir Jasin).
Apakah Syed Rosli Jamalullail, Ketua penerangan Umno cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka Pandan akan menerima nasib yang sama dengan Datuk Khairuddin setelah beliau membuat kenyataan terbuka seperti di atas kerana menyebelahi dan membela Mejar Zaidi?
Sindrom ampu dan bodek memang kuat dan menjadi budaya teras UMNO turun temurun. Kita sama-sama tunggu dan lihat apa berlaku selepas ini.
Dan bagi pejuang kebenaran dan keadilan, kita yakin bahawa kezaliman dan kekejaman itu akan kembali kepada yang melakukannya. Kerana demikianlah sunatullah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan