Oleh DR. MOHD. AWANG IDRIS
KLIP video beberapa gadis bertudung yang dipeluk dan dicium kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, B14A telah menjadi viral di media sosial baru-baru ini.
Walaupun kisah seumpama ini mungkin hal yang lazim dalam kebanyakan konsert di Barat, tetapi ia agak janggal dalam konteks masyarakat Malaysia terutamanya jika membabitkan gadis Melayu beragama Islam.
Bagaimanapun, itulah sebahagian daripada fenomena psikologi biasa yang selalu terjadi di mana-mana sahaja apabila penonton terpukau dengan kehebatan artis idolanya. Adakalanya kerana ketaksuban melampau terhadap artis kesayangan menimbulkan cerita yang lain pula.
Itulah simptom psikologi yang sangat sukar untuk ditafsirkan. Kekaguman manusia terhadap artis menjadikan mereka sanggup melakukan apa sahaja. Konsert mendiang Michael Jackson misalnya, mampu menyebabkan ribuan manusia menangis. Konsert Iron Maiden pula menjadikan penontonnya mempunyai semangat yang luar biasa.
Semua ini adalah keajaiban hubungan artis dan peminat yang sangat sukar untuk diceritakan.
Dalam psikologi, sindrom seperti ini dinamakan sebagai celebrity worship syndrome (CWS) adakalanya dianggap sebagai sebahagian daripada penyakit psikologi yang sekiranya berlebihan, perlu dirawat.
Ia adalah satu keadaan yang menjadikan seseorang individu itu berasa sangat mengagumi seseorang artis pujaannya. Bahkan, ada kes-kes yang menunjukkan peminat yang bertindak melakukan sesuatu di luar jangkauan apabila mengambil langkah membunuh diri.
Lebih sedekad lalu, hal seumpama ini dilaporkan dalam satu jurnal apabila seorang gadis berusia 16 tahun telah mengambil tindakan mandi air panas dan melukai leher, kaki serta beberapa anggota lain kerana sangat kecewa dengan berita pertunangan seorang pemuzik terkenal.
Ilusi
Walaupun gadis muda ini kemudiannya dimasukkan ke hospital dan sembuh, dia masih tidak teragak-agak untuk terus obses dengan idolanya itu. Katanya: “Saya hanya mahu dia gembira dan perkara itu juga menggembirakan saya. Dialah satu-satunya manusia yang mempunyai ikatan dengan saya”.
Ini adalah kisah CWS yang sangat melampau. Ia hanya sekadar ilusi yang dimainkan perasaan oleh peminat, sedangkan idolanya tadi mungkin tidak tahu atau menyedarinya sama sekali.
Umumnya, sindrom mengagungkan artis secara melampau ini boleh dikelaskan kepada beberapa peringkat, iaitu keterujaan ringkas, yang merujuk kepada minat biasa terhadap seseorang artis.
Ada pula yang mempunyai obses yang agak teruk, yang dinamakan sebagai love obsessional yang menjadikan seseorang itu jatuh hati dengan seorang artis sehinggakan membayangkan artis itu adalah pasangan mereka.
Bagaimanapun, dalam kes yang lebih teruk yang dikenali sebagai erotomanic, peminat sudah mula meyakini bahawa artis itu juga mencintainya. Ini menjadikan dia sangat cemburu sekiranya ada orang lain mendekati artis itu kerana percaya artis tersebut merupakan pasangannya.
Sebab itulah, kehidupan artis bukan lagi menjadi rahsia untuk peminat mereka. Setiap saat pergerakan mereka akan terus ‘diintai’ oleh peminat yang fanatik. Mereka dianggap sebagai manusia luar biasa yang terus disayangi.
Bagaimanapun, populariti seseorang artis kelihatannya mula merosot apabila mereka berkahwin atau menjalinkan hubungan dengan seseorang. Ini kerana artis tadi tidak lagi dilihat sebagai seseorang yang mempunyai potensi untuk ‘dipunyai’. Artis yang mempunyai personaliti yang menarik juga akan berpeluang untuk mendapat lebih perhatian dibandingkan dengan mereka yang mempunyai penampilan yang biasa-biasa sahaja.
Perhatian
Bayangkan, betapa teruknya khayalan manusia yang mengagungkan idola mereka. Kita mungkin berkata ia hal yang janggal. Bagaimanapun, ia adalah hakikat yang berlaku di mana-mana sahaja. Kisah artis yang mengenakan pakaian baharu mungkin akan lebih diberikan perhatian oleh pembaca berbanding kisah saintis menemui sesuatu yang bermanfaat untuk manusia.
Sebagai orang awam, kita juga adalah manusia biasa. Kita boleh sahaja meminati seseorang artis atau pelakon. Bagaimanapun, keterujaan kita itu janganlah sampai menyebabkan kita sanggup untuk melupakan batas norma dan budaya kita.
Banyak berlaku, apabila idola ini dianggap sebagai manusia sempurna dan luar biasa. Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa peminat yang fanatik seumpama ini juga biasanya ialah mereka yang mempunyai kurang keyakinan diri dan berasa rendah diri. Mereka berasakan betapa artis tadi ialah manusia agung. Sedangkan, hakikatnya artis pujaan mereka hanyalah orang biasa seperti orang lain.
Kita boleh meminati sesiapa sahaja artis, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan kerana keghairahan yang melampau, kita telah melupakan siapa diri kita dan di mana kita berpijak.
Sedikit kesilapan yang kita lakukan, mungkin akan terus diceritakan orang selama-lamanya. Sedangkan artis pujaan tadi telah pergi ke tempat yang lain-kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan