Jumaat, 2 Januari 2015

Najib perlu jelaskan tujuan jet rasmi

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan tujuan jet rasmi kerajaan Malaysia, 9M-NAA diterbangkan ke beberapa negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Chean Chung berkata, semakan menggunakan aplikasi ‘Flightradar’ mendapati pesawat itu terbang ke Indianapolis, New York dan Los Angeles, Amerika Syarikat pada 31 Disember.

Manakala pada 1 Januari, pesawat itu meneruskan perjalanannya ke Dubai dari London sebelum tiba ke Bangkok.

“Yang menarik perhatian saya ialah ‘misi misteri’ ini bergerak ke arah barat dari Indianapolis ke Los Angeles, tetapi kemudian ke arah timur pula dari Los Angeles ke New York. Apakah tujuan penerbangan yang berulang-alik dan pelik itu?” soalnya, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiadaan jet rasmi kerajaan selama 7 hari ketika Malaysia dilanda banjir yang paling teruk dalam sejarah menjadi tanda tanya orang awam dan menimbulkan keraguan masyarakat antarabangsa.

“Tiada pemimpin yang berintegriti akan menggunakan jet rasmi kerajaan untuk bercuti, apatah lagi dalam keadaan rakyat sengsara menghadapi malapetaka yang menyakitkan ini.

“Tambahan pula, jet tersebut boleh ditinggalkan untuk penggunaan ‘VIP misteri’ untuk terbang ke sana sini sempena pesta Krismas dan Tahun Baru di negara barat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu.

Lee sebelum ini mendakwa, penggunaan jet VIP Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) M53-01 untuk menghantar Najib pulang ke Malaysia, adalah pembaziran kerana beliau sepatutnya pulang dengan jet 9M-NAA.

Katanya, ia membazirkan wang rakyat sebanyak RM73,620 sebagai pembayaran kos bahan api dan wang sejumlah itu sepatutnya boleh digunakan bagi membantu mangsa banjir.

“Jumlah ini belum termasuk kos penggunaan jet asal 9M-NAA yang sudah pasti akan mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Selaku pengguna jet rasmi 9M-NAA, Lee berkata, Najib wajib memberikan penjelasan tujuan penggunaan jet tersebut, dan adakah ia diguna pakai oleh keluarga atau isterinya.

Beliau juga mahu tahu adakah perbelanjaan pesawat itu akan ditanggung rakyat yang kini menderita akibat banjir ini.

“Saya turut menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat dan gambar ‘VIP misteri’ yang menggunakan jet tersebut supaya membekalkan informasi kepada PKR dan saya untuk pendedahan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: