Difahamkan perjumpaan bersama Presiden UMNO itu diadakan bagi melihat dan membincangkan gerak kerja jentera parti di peringkat akar umbi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Perjumpaan yang bermula kira-kira 9 pagi itu berlangsung lebih kurang tiga jam dan pemimpin bahagian yang terlibat membuat pertemuan secara bergilir.
Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Perak, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata pertemuan seumpama itu biasanya diadakan apabila menjelang pilihan raya, namun ibu pejabat UMNO telah mula bergerak agresif untuk melakukan persiapan lebih awal.
"Presiden ingin mendengar dan melihat usaha-usaha yang telah kita lakukan. Selain itu kita juga berbincang tentang masalah di peringkat bawahan, pertengahan dan atasan serta sistem penyampaian yang perlu dipertingkatkan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Difahamkan mulai minggu ini Presiden Umno dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bergilir-gilir mengadakan perjumpaan dengan pemimpin UMNO bahagian di ibu pejabat Umno
Selain Bukit Gantang, pemimpin Umno dari beberapa bahagian lain termasuk Sepang turut bertemu Najib hari ini.
Syed Abu Hussin menyifatkan pertemuan yang turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah amat baik untuk meningkatkan motivasi jentera parti.
"Ia juga menunjukkan kepimpinan tertinggi benar-benar serius mengambil tahu perkembangan di peringkat akar umbi," katanya.
Sementara itu, Tengku Adnan yang ditemui kemudian enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan