Isnin, 5 Januari 2015

Bekalan elektrik di Kota Bharu pulih sepenuhnya

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) setakat jam 8.00 pagi tadi telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik ke seluruh kawasan Kota Bharu.

Sehubungan itu, lebih 95 peratus pengguna elektrik di seluruh Negeri Kelantan telah menerima bekalan elektrik setakat waktu yang sama hari ini. Bilangan Pencawang Elektrik (PE) yang telah dipulihkan setakat ini ialah sebanyak 1,864 berbanding 1,960, iaitu jumlah keseluruhan PE yang dipotong semasa banjir.

“Bekalan telah pulih sepenuhnya di kawasan Kota Bharu. Pasukan TNB kini giat menumpukan usaha untuk membaik pulih bekalan kepada baki 5% lagi kawasan yang belum dipulihkan bekalan termasuklah di sebahagian kawasan Kuala Krai , Gua Musang, dan Tanah Merah.

“Sementara itu, semua pusat pemindahan di negeri-negeri yang terlibat banjir telahpun mendapat bekalan elektrik,” kata Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB yang juga Ketua Koordinator Pengurusan Banjir TNB, Ir Abdul Aziz Abdul Majid.

Di Pahang, ujar beliau bekalan ke seluruh kawasan terlibat semakin pulih.

Menurutnya, jumlah PE yang masih belum dipulihkan menurun kepada 150 setakat ini berbanding 584, iaitu jumlah keseluruhan PE yang dipotong semasa banjir.

Sementara itu di Perak, sebanyak 47 PE masih belum dipulihkan, jelasnya.

“TNB terus komited untuk memastikan kesemua pengguna di seluruh negeri-negeri terbabit mendapat bekalan elektrik dengan memastikan kesemua infrastruktur elektrik berada dalam keadaan terbaik,” tambahnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: