THE MALAYSIAN INSIDER
Dua
anggota polis yang terlibat dalam kontroversi rakaman video penyanyi
Zamani Ibrahim atau dikenali sebagai Zamani digantung tugas, selepas
ramai pihak mengkritik perbuatan itu.
Tindakan penggantungan tugas itu disahkan Pengarah Kanan Jabatan
Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zubaidah Md Ismail.
"Ketua polis negara sudah memberi lampu hijau kepada jabatan untuk
melucutkan tugas ke atas mereka yang terlibat dalam perkara tersebut,
sementara siasatan sedang berjalan.
"Kami bukan saja menyoal siasat mereka tapi juga memantau, bagaimana
kecuaian dalam prosedur polis boleh timbul. Kami sedang siasat daripada
setiap sudut," kata Zubaidah seperti dilaporkan TheStar Online hari ini.
Bagaimanapun, butiran mengenai anggota polis tersebut tidak akan
didedahkan tetapi tindakan tegas akan diambil jika terlibat melanggar
Peraturan Penjawat Awam (khidmat dan tingkah laku) 1993, kata Zubaidah.
Katanya, tindakan kedua-dua anggota polis tersebut juga memalukan pasukan keselamatan negara.
Kontroversi membabitkan Zamani tercetus selepas tersebar klip video
berdurasi 1 minit 23 saat yang memaparkan beliau sedang menyanyikan lagu
popularnya bersama kumpulan Slam, Gerimis Mengundang sambil tangannya
bergari.
Video Youtube itu tersebar di laman sosial Facebook dan mendapat
kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan ia sebagai tindakan membuli dan
menjatuhkan maruah Zamani.
Zamani dan seorang wanita ditahan minggu ini kerana dipercayai memiliki dadah di sebuah rumah di Taman Keramat di Kuala Lumpur.
Pihak polis menemui bungkusan disyaki mengandungi heroin seberat kira-kira 1.2 gram. Mereka ditahan reman selama empat hari.
Zamani bagaimanapun dikatakan sudah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan