ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata mahasiswa digalakkan berpolitik dan menjadi aktivis tetapi perlu bijak membahagikan masa dengan pelajaran.
Menurut wakil rakyat BN itu, tidak salah mahasiswa berpolitik dan menjadi aktivis tetapi semua itu tidak bermakna sekiranya mereka gagal menghabiskan pengajian.
“Jadi di kalangan kami ini mudah, kami nak jadi aktivis dan kami ada idealisma tetapi dalam masa yang sama kami nak lulus belajar.
“Tidak ada maknanya anda menjadi aktivism tetapi tak habis belajar,” katanya dalam forum “Selangor Hari Ini” yang berlangsung di Unisel, Bestari Jaya.
Forum tiga penjuru itu turut dihadiri oleh exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dan pemimpin Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.
Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Nik Nazmi (bawah) berkata beliau tidak mahu orang ramai melabelkan Unisel sebagai universiti Pakatan.
Begitu juga dengan label Universiti Malaya (UM) sebagai universiti Umno dan hanya orang dari parti terbabit saja boleh datang memberi ucapan, tambahnya.
“Waktu itu saya kata perlu diadakan forum yang ada tokoh pelbagai pihak hadir dan seperti malam ini kita ada YB Budiman, jadi mungkin lepas ni dapat jemput (Ketua Pemuda Umno) YB KJ (Khairy Jamaluddin) pula," katanya.
“Mahasiswa adalah masa depan negara, sebelum ini mahasiswa disekat daripada berpolitik adalah langkah yang silap kerana universiti bukan kilang lahirkan pekerja tapi melahirkan pemimpin negara.
“Jadi mereka perlu diberi ruang untuk meneroka alam politik sama ada politik kampus atau politik negara kerana mereka akan menentukan corak masa depan negara,” tegasnya.
(*) NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan