MALAYSIAKINI
Isteri kepada mangsa kejadian tanah runtuh di Lembah Bertam di Cameron
Highlands tidak menyangka kegusaran suaminya, Hanipan Saroni, berhubung
hujan lebat yang turun pada 5 Nov lepas, menjadi kenyataan apabila
lelaki itu mati tertimbus.
Sunami Marzuki, 44, berkata suaminya bimbang hujan lebat dan perkara buruk menimpa mereka pada malam kejadian.
"Dia (Hanipan) berasa tidak sedap hati ketika bermalam di rumah kongsi
yang kami diami, kerana hujan sangat lebat pada malam itu tidak seperti
sebelum ini," katanya ketika ditemui Bernama di Cameron Highlands,
Sabtu.
Menceritakan detik cemas kejadian, Sunami berkata dia tidak mampu
berbuat apa-apa dan hanya melihat suaminya yang berusia 48 tahun
terkorban di depan mata.
"Tanah telah mencecah paras lutut dan saya merangkak untuk selamatkan
diri, apabila pandang ke belakang saya dengar dia minta tolong dan
melihat dia telah tertimbus, hanya tangannya sahaja yang
terkapai-kapai," katanya.
Katanya, kejadian berlaku begitu pantas dan dia berasa sangat sedih dan terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan suaminya.
Dia berkata tanah runtuh berlaku ketika mereka sedang tidur dan kedengaran bunyi runtuhan yang kuat di luar rumah.
"Kami segera bangun untuk menyelamatkan diri tetapi suami saya tidak
sempat melarikan diri kemungkinan kain pelekat yang dipakainya
tersangkut menyebabkan dia sukar bergerak," katanya.
Sunami berjaya menyelamatkan diri dan segera meminta bantuan daripada jirannya.
Dia yang mempunyai dua orang anak berumur 22 tahun dan 17 tahun hasil
perkahwinannya dengan Hanipan, berkata jenazah suaminya dibawa pulang ke
Surabaya, Jawa Timur, Indonesia pada pukul 5.30 petang tadi dari
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) untuk dikebumikan.
"Segala kos penghantaran majikan saya yang tanggung dan saya juga pulang
ke kampung selepas selesai proses imigresen," katanya yang sudah dua
tahun tinggal di Malaysia.
Mayat Hanipan ditemui tertimbus di rumahnya oleh pasukan penyelamat pada
pukul 9.20 pagi, Khamis lepas dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah
Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk bedah siasat.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai
Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu
Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin
meningkat akibat hujan lebat.
Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai
berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.
Kejadian yang mengorbankan lima mangsa manakala lima lagi cedera turut
menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung
Baru Ringlet dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat
Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan