Ahad, 9 November 2014

Perlu pasukan khas tangani buli, kata NGO

MALAYSIAKINI


Penubuhan Pasukan Petugas Khas yang memfokuskan elemen pengurusan sosial dan emosi perlu bagi menangani masalah buli dalam kalangan pelajar yang dilihat semakin membimbangkan.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Prof Madya Dr Rozmi Ismail berkata pasukan itu haruslah mencari penyelesaian kepada masalah tersebut dan perlu dianggotai mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaunseling dan psikologi.

"Di negara kita ada banyak pakar kaunseling dan psikologi, jadi sepatutnya kajian mengenai senario buli perlu dibuat, duduk bersama, panggil pegawai pendidikan serta yang lain dan kita usahakan penyelesaian ke arah ini," katanya kepada Bernama.

Rozmi berkata elemen pengurusan sosial bertujuan meningkatkan kemahiran sosial dengan pelajar diberi 'kursus pendek' tentang kemahiran komunikasi yang betul.

"Melalui modul kemahiran sosial ini, misalnya pelajar akan lebih tahu cara tindakan sosial yang betul ketika berkomunikasi, jika buat salah kena berbincang, minta maaf, jadi kalau tak puas hati kita duduk dan bincang," katanya.

Pengurusan emosi pula lebih kepada tindakan yang perlu dilakukan ketika seorang itu berada dalam keadaan marah, katanya.

Rozmi sebelum ini pernah berkata pembuli sebenarnya orang yang lemah walaupun secara fizikal mereka kuat kerana mereka tidak dapat mengurus emosi dan fizikal mereka dengan sebaiknya sehingga mereka melepaskannya kepada mangsa buli.

Ketika diminta mengulas hukuman sewajarnya kepada pembuli, beliau berkata hukuman berbentuk pengajaran perlu diutamakan berbanding tindakan membuang sekolah yang dilihat hanya menyebabkan masa depan mereka gelap.

"Remaja tidak selamanya jahat, seeloknya buat kerja sosial ... tahu dan ambil pengajaran; sebolehnya jangan jejaskan masa depan dia, jangan letak kesalahan seratus peratus kepada dia (pembuli)," katanya.
Selasa lalu, video sembilan pelajar dipukul beramai-ramai oleh pelajar lain di dalam sebuah bilik asrama dan menarik perhatian pengguna laman sosial yang mengutuk perbuatan berkenaan.

Beberapa hari selepas itu, video memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja di dalam sebuah bilik yang dipercayai asrama anak yatim turut tersebar di laman sosial. - Bernama

Tiada ulasan: