SPRM SPRM
 
 
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal membuka pejabat yang khusus di Cameron Highlands dan menempatkan pegawainya di sana.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Sri Mohd Shukri Abdull berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira situasi di Cameron Highlands ketika menjalankan pemeriksaan sejak Mei, tahun lalu.

“...SPRM juga ada menerima pandangan daripada orang ramai agar SPRM membuka pejabat yang khusus di Cameron Highlands bagi memantau dakwaan elemen rasuah dengan rapi.

“Salah satu isu yang dikenal pasti oleh SPRM ketika menjalankan pemeriksaan sejak Mei 2013 ialah tidak ada pusat yang khusus dan sistematik untuk orang ramai membuat aduan dengan berkesan berkenaan aktiviti pembukaan kawasan pertanian secara haram dan mengenai elemen rasuah.

“Justeru, SPRM telah memutuskan untuk menempatkan pegawai SPRM di Cameron Highlands bagi meningkatkan pemantauan secara dekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan keputusan itu, pihaknya dapat meningkatkan pengawasan dan pemantauan agar jenayah rasuah di Cameron Highlands dapat ditangani secara holistik.

“Sementara penempatan pegawai secara tetap di kawasan Cameron Highlands diluluskan oleh kerajaan, SPRM akan meletakkan pegawainya di kawasan itu secara sementara secepat yang mungkin,” katanya.

Tambahnya, meskipun menerima banyak aduan dan maklumat, namun pihaknya menghadapi kekurangan bukti yang kukuh untuk mendakwa pihak terlibat.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada SPRM dan memberi sokongan padu bagi menangani isu serius di kawasan tersebut.

“Disebabkan kekurangan bukti walaupun menerima maklumat daripada orang ramai, SPRM menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan telah menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca-punca yang membawa kepada isu di Cameron Highlands.

“SPRM akan terus meningkatkan pendekatan pengesanan jenayah rasuah dengan kerjasama agensi-agensi lain di Cameron Highlands,” katanya.