PETALING JAYA - Sebanyak 65 peratus pengguna di negara ini tidak mengetahui tentang wujudnya tanda keselamatan 'Malaysian Conformity' (MC) pada barangan permainan kanak-kanak, demikian menurut kajian Persatuan Pengguna Standard Malaysia (PPSM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPSM, Ratna Devi Nadarajan, pengguna tidak menjadikan tanda keselamatan MC sebagai salah satu kriteria untuk membeli peralatan mainan kepada anak-anak mereka.
"Malahan kebanyakan pengguna juga tidak tahu membezakan antara tanda keselamatan yang asli dan yang tiruan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.
Beliau berkata, tanda MC pada barangan permainan kanak-kanak telah diperkenalkan Kememterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) sejak 2010 dengan tujuan melindungi pengguna daripada membeli barangan permainan yang mengandungi bahan berbahaya seperti plumbum.
Ratna berkata, sungguhpun pelbagai bentuk hebahan telah dilakukan oleh pihak KPDNKK mengenai tanda itu, namun masih banyak pengguna yang masih belum memahami tentang pentingnya tanda itu pada barangan permainan.
Sehubungan itu beliau berkata, pihak berkuasa terutama KPDNKK perlu meningkatkan pengawasan terhadap penjualan permainan kanak-kanak bagi membanteras penjualan barangan mainan yang tidak selamat atau yang menggunakan tanda MC palsu.
Katanya ini kerana tinjauan pihak persatuan itu mendapati terdapat gerai dalam pusat beli belah yang masih menjual barangan permainan yang tidak mempunyai tanda keselamatan itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan