Ironinya, menteri dan timbalan menteri berkenaan adalah wakil rakyat dari kedua-dua negeri tersebut
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin meluahkan kekesalannya kerana peruntukan Kementerian Kerja Raya (KKR) tahun 2015 salah meletakkan keutamaan (priority) dan gagal dalam perancangannya.
Beliau berpendapat pengurangan bajet untuk penyelenggaraan jalan raya persekutuan akan mengundang ancaman terhadap keselamatan pengguna motosikal.
“Dalam sesi perbahasan jawatankuasa KKR semalam, saya telah membangkitkan isu pengurangan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan yang mendadak. Ekoran pemotongan bajet, saya menjangkakan pada 2015 keadaan jalan raya persekutuan akan menjadi sangat teruk dan merbahaya. Nyawa pengguna terutamanya penunggang motosikal akan terancam,” jelasnya.
Katanya, peruntukan penyelenggaraan tersebut melibatkan kerja-kerja seperti penurapan semula, penggantian papan-papan tanda, penampalan pothole, memotong rumput, mencantas pokok, menyapu jalanraya dan membersihkan longkang jalanraya.
Beliau menambah, pengurangan mendadak adalah peruntukan untuk Sabah dan Sarawak. Manakala Labuan paling serius kerana pengurangan RM269 juta akan menyebabkan keadaan jalan persekutuannya yang sudah dalam keadaan teruk akan bertambah teruk.
“Ironinya, kedua-dua menteri dan timbalan menteri adalah wakil rakyat dari kedua-dua negeri tersebut,” ujarnya sambil menambah pada masa sama, bayaran Pampasan Tol secara “one-off” untuk tahun 2015 adalah RM458.7 juta.
“Apabila peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan telah berkurangan RM459 juta, bayaran pampasan konsesi pula akan dibayar RM459juta. Adakah ini satu kebetulan? Kementerian harus menjawab soalan tersebut,” ujarnya.
Beliau juga berpendapat pengurangan RM459 juta peruntukan penyelenggaraan tetapi membayar RM459 juta kepada konsesi tol adalah amat tidak bijak.
Beliau seterusnya menegaskan, syarikat konsesi tol merupakan syarikat komersial yang mementingkan keuntungan (profit-oriented). Mereka telah mengutip tol berjumlah berbilion ringgit.
Sekarang, kerajaan persekutuan akan membayar mereka secara tambahan. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan pusat menangani ketamakan syarikat-syarikat konsesi tol, rakyat menjadi mangsa.
“Adakah kerajaan pusat lebih mendahulukan rakyat atau syarikat-syarikat konsesi besar?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan