MALAYSIAKINI
Vaksin denggi pertama di dunia kini dalam proses pengeluaran, dan akan
berada di pasaran pada separuh kedua 2015, menurut Sanofi Pasteur,
syarikat multinasional yang memberi tumpuan kepada penghasilan vaksin.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata kajian klinikal peringkat
akhir kedua menunjukkan 95.5 peratus perlindungan terhadap demam denggi
teruk dan pengurangan risiko kemasukan ke dalam wad sebanyak 80.3
peratus.
Sanofi Pasteur, iaitu bahagian vaksin di Sanofi, mengumumkan keputusan
terperinci kajian keberkesanan klinikal Fasa III yang bersejarah itu di
Amerika Latin dalam The New England Journal of Medicine.
Pengeluar ubat dari Perancis itu berkata keberkesanan menyeluruh
terhadap sebarang simptom demam denggi adalah 60.8 peratus terhadap
kanak-kanak dan remaja sembilan hingga 16 tahun yang diberi tiga dos
vaksin itu.
Kajian itu dijalankan meliputi lebih 31,000 peserta di 10 negara endemik di Amerika Latin dan Asia, termasuk Malaysia.
Denggi adalah penyakit endemik di lebih 100 negara, mengancam hampir
separuh penduduk dunia. Seorang pesakit dimasukkan ke hospital akibat
denggi pada setiap
minit.
Sanofi mengambil masa sejak 20 tahun lepas untuk membangunkan vaksin yang mendahului bakal pesaingnya selama beberapa tahun.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan