Ahad, 2 November 2014

Menteri: Media sosial boleh bukti kes keganasan

MALAYSIAKINI


 


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan menggunakan maklumat hasil intipan di media sosial sebagai bukti dalam pertuduhan di mahkamah ke atas suspek kegiatan keganasan.

Menurutnya, langkah itu boleh dilakukan menerusi pindaan akta sedia ada atau pengenalan undang-undang antikeganasan yang baru.

"Sekarang ini benda ini tak boleh dijadikan hard evidence (bukti jelas) untuk bawa mereka ke mahkamah," katanya dalam satu sidang media tengahari ini.

"Apa yang disarankan Kementerian Dalam Negeri adalah sama ada peguam negara melakukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada dengan meningkatkan aspek pencegahan dalam undang-undang sedia ada.

"Kedua, daripada segi pembiayaan dana, KDN mencadangkan satu akta baru yang boleh mencegah aktiviti keganasan," kata Zahid lagi.

Menurutnya, Akta Pencegahan Jenayah 1959 terhad kepada aktiviti mencegah jenayah sementara Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 pula biasanya digunakan untuk mencegah penceroboh dalam ke dalam negara.

Menurutnya, jika akta baru menentang keganasan diluluskan kelak, satu panel khas akan dibentuk untuk membuat keputusan yang membabitkan peruntukan akta itu.

Jelasnya, ia mengambil contoh Akta Pencegahan Jenayah, yang dipinda pada tahun 2013.

"(Kuasa memberi arahan penahanan) akan diturunkan kepada ahli lembaga Panel Pencegahan Antikeganasan – seperti ahli lembaga pencegahan jenayah dalam Akta Pencegahan Jenayah," katanya.

Akta Pencegahan Jenajah dipinda pada September tahun lalu dengan memperkenalkan semula penahanan tanpa bicara selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ia turut membatalkan kuasa menteri untuk mengarahkan penahanan dan memindahkannya kepada Lembaga Pencegahan Jenayah.

Walau dengan peruntukan baru itu, ia masih menjadi sasaran kritikan aktivis hak asasi yang menggelarkannya sebagai “ISA 2.0”.

Aktivis mendakwa peruntukan itu mempunyai kuasa luas yang menyekat kebebasan bergerak, berekspresi, berhimpun, dan memiliki harta.

Tiada ulasan: