KUALA LUMPUR - Individu yang disaman Datuk Seri Anwar Ibrahim
berhubung kesalahan memfitnah Ketua Pembangkang itu, Wan Muhammad Azri
Wan Deris hari ini mengeluarkan kenyataan berbentuk 'Q and A' di laman
Facebooknya berkaitan kes tersebut.
Menerusi Facebook Sir Azri, Wan Muhammad Azri dilihat memberi jawapan
kepada beberapa soalan yang diajukan oleh kenalannya berhubung kes saman
fitnah diantara dirinya dengan Anwar.
Antara soalan yang diberikan oleh kenalannnya ialah bagaimana dia ingin
menjelaskan jumlah bayaran saman kepada Anwar yang berjumlah RM850,000
dan adakah dia memiliki wang yang mencukupi untuk menjelaskannya?
"Jika mahkamah sudah arahkan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tuntut RM850
ribu maka saya akan bayar kepada beliau dengan menjual apa yang saya
ada. (Kecuali Punggung).
"Tidak cukup wang ataupun aset yang saya ada. Terpulang kepada Datuk
Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau mahu bangkrapkan saya atau pun
tidak," katanya menerusi laman sosial itu.
Wan Muhammad Azri membuat keputusan untuk melawan Anwar tanpa diwakili
seorang peguam kerana yakin mampu melakukannya (lawan) walaupun hanya
mempunyai pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiada kepakaran
dalam bidang guaman.
Menerusi kenyataannya, Wan Muhammad Azri mengakui tindakan dirinya untuk
melawan secara bersendirian kerana tidak mampu membayar kos guaman
diperingkat Mahkamah Rayuan kerana kos yang agak tinggi dan masih belum
melangsaikan baki bayaran pihak peguam di Mahkamah Tinggi yang lalu.
"Saya nak tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa jika kita benar tidak
ada apa yang kita perlu takutkan walaupun seseorang itu besar pangkatnya
dan mempunyai wang yang banyak. Apa yang saya tunjukkan adalah untuk
memberikan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita hanya
perlu takut kepada Allah SWT dan selain itu kita tidak perlu untuk
takut," tambahnya.
Wan Muhammad Azri juga yakin pihaknya akan mendapat kemenangan diperingkat Mahkamah Rayuan.
"Saya cukup yakin kerana hari ini para hakim dan pihak mahkamah juga
tahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijatuhi hukuman penjara 5
tahun atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari dan rekod terdahulu juga
yang dibuat hakim Mahkamah persekutuan menyatakan bahawa "Liwat berlaku
namun atas faktor kesilapan teknikal Anwar Ibrahim dibebaskan", katanya.
Pada akhir soalan dikenyataan tersebut, Wan Muhammad Azri telah diajukan soalan adakah dia adalah Blogger Kontroversi Papa Gomo?
"Saya tidak tahu siapa Blogger Papa Gomo tapi ikut makluman Papa Gomo
adalah Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim pemilik Blog Papa Gomo. Jika bukan
Anwar Ibrahim macam mana Blogger Papa Gomo boleh ada bermacam koleksi
18SX Anwar Ibrahim?
"Muka macam saya tapi bukan saya," katanya ringkas.
Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Wan Muhammad Azri
membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 dan kos RM50,000 kepada Anwar
selepas mendapati Anwar berjaya membuktikan kes saman fitnahnya terhadap
beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan