MALAYSIAKINI
Seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) menyaman syarikat
penerbangan itu di mahkamah Australia, menuntut gantirugi sebanyak
A$250,000 (RM752,000) kerana didakwa enggan menyediakan kerusi roda
kepadanya, mengakibatkan dia terjatuh dan mengalami keretakan tulang.
Kejadian itu berlaku pada 4 April tahun ini, dakwa Vineetha Latha
Warnakulasuriya yang berusia 72 tahun, apabila dia tiba di Sri Lanka
dari Kuala Lumpur, dengan pesawat Penerbangan MH179, dan meminta kerusi
roda daripada kakitangan bertugas.
Bagaimanapun, Vineetha mendakwa, dia diberitahu bahawa kerusi roda tidak
boleh dibawa masuk ke dalam pesawat, dan dia perlu keluar di mana
kerusi roda itu akan dibawa.
Dalam pernyataan tuntutannya, Vineetha berkata, berikutan itu, dia tidak
ada pilihan tetapi terpaksa mematuhi arahan tersebut dan dia cuba
bangun dari tempat duduknya tetapi terjatuh ke lantai, menyebabkan
mengalami kecederaan.
Pernyataan tuntutan itu difailkan di Mahkamah Daerah Brisbane semalam.
Vineetha memegang dua kerakyatan - di Sri Lanka dan di Australia.
Beliau mendakwa telah mengalami keretakan tulang pada tibia kanannya
(tulang kering) dan kerosakan ligamen di tempurung lutut kanannya akibat
terjatuh itu.
Menurut dokumen itu, Vineetha meminta kerusi roda kerana sebelum itu,
dia telah terjatuh di Lapangan Terbang Melbourne, dan mengalami
kecederaan pada lutut kanannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan