Isnin, 30 Jun 2014

Ramadan: Model Playboy, kepala lembu dan Syria

Oleh Amin Iskandar


Hari ini hari kedua umat Islam di Malaysia berpuasa. Selama sebulan ini, agak sukar untuk kita melihat umat Islam makan tengah hari di restoran secara terbuka.

Tetapi dengan mudah kita boleh melihat “drive thru” di restoran makanan segera seperti McDonald's dan KFC sesak dengan umat Islam yang berpusu-pusu membeli “juadah berbuka puasa” seawal jam 10 pagi.

Dalam erti kata lain, di bulan Ramadan, kebanyakan umat Islam tidak akan menzahirkan apa yang mereka sering lakukan. Kebanyakan akan dilakukan secara “tersirat.”


Tidak mengapa, yang lebih penting lagi, bulan Ramadan ini boleh digunakan untuk menilai semula apakah yang sudah dilakukan selama ini dalam menjadi “khalifah Allah di muka bumi” dan sebagai penganut agama majoriti di Malaysia.

Model Playboy

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan seorang bekas model Playboy, Felixia Yeap menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.

Di dalam berita versi bahasa Melayu, komen-komen pembaca seperti biasa, “Tahniah Allah berikan hidayah”, “Tahniah dan bersyukurlah kerana Allah memilih kamu, sungguh Allah memilih sesiapa pun tang dikehendakiNya,” dan banyak lagi puji-pujian.

Jika dibaca versi bahasa Inggeris pula, komen-komen yang diberikan berbeza.

Ada pembaca yang meminta Yeap memikirkan semula keputusannya kerana tiada lagi jalan patah balik selepas beliau menyertai Islam.

Antara komen-komen diberikan adalah: “... going from a dark side to an even darker one. Already a lost cause when she decided to pose naked publicly. The dark force celebrates her joining and the opportunist media reports in a big way. Such a BIG and IMPORTANT news when a stripper covers up!"

“Don't play play loh...There is no turn back after this.”

“Once in, there's NO out! Just a friendly reminder.”

Apabila membaca komen negatif daripada yang bukan Islam terhadap Islam siapa yang harus dipersalahkan?

Kepala lembu

Bagi saya, kesalahan itu terletak di bahu umat Islam itu sendiri, terutamanya dalam negara seperti Malaysia.

Lihatlah apa yang berlaku semalam di Pulau Pinang. Kepala lembu dicampakkan di hadapan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Pulau Pinang, R S N Rayer.

Walaupun masih belum diketahui siapa yang melakukannya, tuduhan atau persepsi umum sudah pasti akan menyalahkan Umno, parti majoriti Melayu-Islam kerana Rayer sebelum ini mengatakan Umno celaka.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri mengatakan walaupun bersimpati dengan Rayer, itulah harga yang perlu dibayarnya kerana bermulut celupar.

Zahid merupakan antara pemimpin Umno yang menjenamakan dirinya sebagai seorang pemimpin Islam.

Tetapi jika ini yang keluar daripada mulut seorang pemimpin Islam seperti Zahid, apa lagi kita harapkan daripada pengikut biasa Umno?

Memang benar Rayer bermulut celupar apabila mengatakan Umno celaka.

Tapi muliakah tindakan biadap Rayer dibalas dengan penghinaan terhadap agama Hindu secara keseluruhannya?

Lembu merupakan haiwan suci penganut agama Hindu, mengapa perlu dihina sebegitu rupa sekalipun marah dengan kenyataan celupar Rayer? Apakah ini yang diajar Islam?

Apakah umat Islam boleh berbangga dapat membuli penganut agama minoriti dalam negara?
Syria

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta ahli-ahli Umno mencontohi keberanian Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (Isil) yang mengalahkan tentera Iraq, saya tidak terkejut.

Ramai yang mempersoalkan kejahilan Najib dalam politik antarabangsa dan hubungan diplomatik, terutamanya di Timur Tengah.

Pemikir-pemikir di belakang Najib turut dipersoalkan kerana kenyataan “tidak bijak” perdana menteri itu.

Apakah kenyataan Najib itu datang daripada pemikirannya sendiri? Atau ia disediakan oleh kumpulan pemikirnya yang sengaja mahu dunia mengetahui garis politik presiden Umno itu.

Bagi saya, Najib memang secara terbuka menunjukkan beliau bersama Amerika Syarikat (AS) dan Barack Obama, cuma beliau “kurang bijak” berbanding presiden AS itu yang sudah tentu tidak akan secara terbuka menyatakan beliau menyokong Isil.

Bagi yang faham tentang politik antarabangsa dan Timur Tengah, sudah pasti akan tahu bagaimana AS berperanan menyokong dan memberi dana Isil dan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Di atas nama memerangi Syiah, ramai umat Islam seluruh dunia terpengaruh, termasuk dari Malaysia, dipergunakan sehingga ada yang terkorban sebagai pengebom berani mati.

Peperangan di Timur Tengah ini akan berterusan dan disokong Obama dan sekutunya untuk memastikan Arab Saudi dan Israel terus selamat.

Bagi yang tidak “membaca” dan terpengaruh dengan sentimen anti-Syiah, mereka merasakan perjuangan menggulingkan Bashar Al Assad itu perjuangan suci kerana beliau merupakan seorang Syiah.

Assad akan terus berkuasa kerana disokong rakyatnya.

Assad itu seribu kali lebih mulia daripada Raja-raja “Sunni” Arab Saudi yang menjadi anjing kepada AS secara turun temurun.

Selain daripada menilai diri sendiri, elok jadikanlah Ramadan sebagai bulan untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Ini kerana, jika anda bodoh, agama apa sekalipun yang anda anuti, tidak akan menjamin anda akan selamat hidup di dunia mahupun di akhirat

Jangan fikir kerana anda umat Islam, anda boleh menjadi bodoh kerana sudah dijamin syurga.
Percayalah, kebodohan itulah yang akan memudaratkan hidup anda di dunia, mahupun akhirat.
Selamat berpuasa dan menjalani bulan Ramadan.

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar

1 ulasan:

MakoFSA berkata...

tuan blog. bg sy anda salah dlm memahami syiah. kita umat islam tleah sgt terkeliru kerana lakunan hebat iran syiah musuh US.

tuan kajilah ajaran syiah, dgr ceramah ulamak2 kita dn ulamak terkemuka dunia. ulamak kita pun ade ceramah mendedah ajaran dr kitab syiah sendiri, bukan reka2an.

syiah memang dendam kpd umat Islam. kejahatan mereka bukan baru hari ini tuan. semenjak dr zaman Saidina Usman lagi. berkurun2 syiah byk rekod kejahatan kpd umat Islam sehingga hari ini.

kejahatan bashar jelas disokong iran syiah dgn kufar rusia dn cina. mereka itu sebenarnya geng US juga.

pendek cerita kezaliman bashar dan maliki sedang ditentang oleh mujahideen atas nama jihad dn memang itu adalah jihad yg sah. mati kerananya insyaallah syahid.

Allah memerintahkan, diizinkan kamu berperang kerana kamu dizalimi. kezaliman assad terlalu melampau.

kalau benar mujahideen disokong US, kenapa mereka tk menang2 lagi dn tiada US dtg membantu.

MALIKI SYIAH IRAQ DITEKAN ISIS KINI MEMITA PERTOLONGAN US UTK LAWAN ISIS. jadi siapa yg geng US sekarang? terbukti benar syiah iraq lah yg membantu US tawan iraq dan bunuh saddam.

laknatullah kpd Syiah, murtadin yg mengkafirkan sahabat2 rdh dn menghalalkan darah umat Islam.