Ahad, 29 Jun 2014

Perketat kawalan mercun, bunga api sebelum 'makan' mangsa

BIASANYA, sebaik sahaja Ramadan menjelma, perkara yang perlu diberi perhatian bukan hanya stok bahan makanan terutamanya untuk melengkapkan juadah berbuka dan hari raya, tetapi juga benda-benda terlarang seperti mercun dan bunga api. 

 Bahan-bahan terlarang ini menjadi buruan peniaga untuk meraih keuntungan kerana permintaannya sangat menggalakkan. Kesempatan yang datang sekali-sekala ini tidak dilepaskan oleh peniaga mahupun pembeli. Di satu pihak, hendak kaut untung dan di satu pihak lagi, mahu bergembira kerana hari raya setahun sekali.

Baru-baru ini, Kastam Kelantan merampas 424 kotak mercun bernilai RM305,811 di kawasan ladang kelapa sawit Felda Bukit Tandak, Rantau Panjang. Ini antara rampasan terawal sebelum tirai Ramadan disingkap.

Itu belum lagi ketika umat Islam menyambut Ramadan dan ketika Aidilfitri hampir menjelma. Biasanya apabila 'semangat' hari raya mula terasa, dentuman mercun dan percikan bunga api mula kedengaran dan dapat dilihat di mana-mana di samping rampasan dan tangkapan yang dibuat oleh pihak berkuasa.

Apabila masih kedengaran dentuman mercun dan terlihat percikan bunga api, bermakna ada bahan-bahan tersebut yang terlepas daripada jangkauan pihak berkuasa. Trend sekarang, di beberapa tempat, dalam majlis-majlis perkahwinan pun, mercun dan bunga api menyambut pengantin, riuh-rendah bercampur dengan paluan kompang.

Ini bermakna bahan-bahan terlarang ini sentiasa ada dan boleh terlepas ke tangan orang ramai, sedangkan ia dikategorikan sebagai bahan bahaya.

Usaha untuk menyekat kemasukan bahan-bahan terlarang ini sentiasa dilakukan terutama ketika hampir musim perayaan. Malah, di sempadan negara, kawalan ketat dipertingkatkan demi mengelak berlaku penyeludupan masuk bahan-bahan kawalan, yang bukan hanya membabitkan mercun dan bunga api, tetapi bahan-bahan lain terutamanya dadah.

Pada 2013, Kastam Selangor telah mematahkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api dipercayai dari China di Pelabuhan Klang.

Pihak polis dan kastam di negeri-negeri yang berhampiran sempadan perlu bersiap sedia menghadapi aktiviti menyeludup bahan-bahan larangan ini ke negara kita berikutan permintaannya yang dijangka meningkat.

Sesetengah pihak sudah menjadikan mercun sebagai pelengkap perayaan. Inilah yang menjadi masalah sehingga mercun sukar dibanteras. Di pihak peniaga pula, mereka akan meraih keuntungan lumayan daripada penjualan mercun dan bunga api.

Malangnya, ramai yang tidak berfikir kesan daripada penjualan dan permainan mercun dan bunga api.

Mengimbau beberapa kejadian, pada 26 Ogos 2010, seorang budak berusia enam tahun maut apabila stor menyimpan bahan letupan tersebut meletup di Terengganu. Pada 1991, sebuah kilang mercun di Sungai Buluh meletup dan terbakar mengorbankan 26 orang sehingga mendorong kerajaan mengharamkan mercun.

Banyak lagi kes membabitkan mercun dan bunga api termasuklah kejadian putus jari tangan, muka lebam sana-sini, rumah terbakar dan sebagainya. Bagaimanapun, insiden-insiden ini seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada orang ramai sebaliknya terus ghairah dengan bahan-bahan ini setiap kali musim perayaan tiba.

Oleh yang demikian, pelbagai ikhtiar mesti dilakukan untuk membendung gejala bermain mercun dan bunga api. Ibu bapa berperanan penting memantau aktiviti anak-anak mereka sebaik sahaja musim perayaan bermula.

Didiklah anak-anak supaya tidak membeli barang yang boleh mengancam keselamatan mereka dan harta benda. Nasihati juga anak-anak supaya tidak membeli mercun dan bunga api kerana ia satu pembaziran yang mesti dielakkan. Wang itu boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat.

Pihak berkuasa pula mestilah memperketat kawalan. Apabila bahan-bahan itu sudah terlepas masuk ke dalam negara, pelbagai ikhtiar lain boleh digunakan untuk membendung gejala tidak sihat ini.

Di kampung penulis, beberapa anggota polis berpakaian preman membuat rondaan pada sebelah malam. Apabila terserempak sahaja dengan budak-budak yang bermain mercun, mereka akan bertanya, dari mana mercun itu dibeli. Apabila budak-budak itu memberitahu, maka pihak polis menyerbu rumah peniaga mercun kemudian menahannya.

Kaedah ini ternyata berkesan kerana dapat mengurangkan jumlah peniaga mercun secara haram. Selain itu, pelbagai kaedah lain mungkin boleh dipraktikkan termasuk menyerbu kedai yang disyaki menjual bahan-bahan larangan ini.

Pengawalan dan penguatkuasaan terhadap bahan larangan ini sangat penting kerana lebih banyak kemudaratan yang dibawanya daripada 'kegembiraan' yang bersifat sementara

Tiada ulasan: