Jumaat, 27 Jun 2014

Mahkamah syariah dengar permohonan IGP Isnin

MALAYSIAKINI


 


Permohonan menggantung arahan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban supaya polis membantu kes seorang bapa mualaf dalam perebutan hak jagaan anak daripada bekas isteri Hindunya akan didengar pada Isnin.

Permohonan itu difailkan oleh tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co bagi pihak Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak polis.

Peguam Azmi Rais berkata permohonan itu difailkan semalam dan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menetapkan Isnin ini untuk mendengarnya.

“Firma kami dilantik oleh Pejabat Peguam Negara untuk mewakili IGP dan polis dalam pertikaian ini,” katanya dalam pesanan SMS kepada Malaysiakini.

Mahkamah Tinggi Syariah Seremban sebelum ini mengeluarkan arahan supaya polis membantu N Viran @ Izwan Abdullah mendapatkan anaknya.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, beliau akan memfail menjadi pencelah dalam dua kes perebutan anak di Seremban itu dan kes M Indira Gandhi di Ipoh.

Beliau juga akan memohon menggantung arahan mahkamah.

Tiada ulasan: