Jumaat, 27 Jun 2014

Projek mega Tanjung Aru dipertikai, DAP Sabah pertimbang tindakan undang-undang

junz wong

Roketkini.com


KOTA KINABALU: DAP Sabah menyelar jawapan kerajaan negeri bahawa projek mega Tanjung Aru Beach Eco-Development (TAED) dibuat untuk mengelak pencemaran daripada terus berlaku.

Setiausaha Organisasi DAP Sabah Junz Wong berkata, projek mega TAED bukan penyelesaian masalah pencemaran, sebaliknya memberi kesan buruk terhadap sistem pembetungan, sumber air dan bekalan elektrik.

“Cadangan projek TAED mendedahkan lebih banyak kecuaian kerajaan Sabah dalam memastikan pantai bebas dari sebarang pencemaran.

“Sehingga kini pihak kerajaan termasuk pemaju TAED masih gagal menjelaskan secara terperinci bagaimana projek itu mampu membasmi pencemaran, sekaligus menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

“Cadangan bahawa kerajaan memerlukan projek mega untuk mengelak pencemaran tidak munasabah sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Junz yang juga Adun Likas menyatakan, punca utama pencemaran pantai Tanjung Aru adalah kerana pengaliran Sungai Sembulan dan Sungai Petagas yang tercemar ke bahagian pantai.

Katanya, kewujudan begitu banyak kawasan penempatan haram di sepanjang persisir pantai juga menyumbang kepada pencemaran.

“Kawasan penempatan haram di Tanjung Aru, Sepanggar dan beberapa kawasan lain antara penyebab pencemaran air terutamanya melibatkan isu pembuangan sisa pepejal,” ujarnya.

Tambanya, DAP Sabah kini mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Sabah kerana gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kami akan menubuhkan satu pasukan undang-undang untuk menyemak dan mengkaji dengan teliti keperluan mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Sabah, Jabatan Kesihatan dan Perparitan serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Tindakan undang-undang wajar dilakukan selagi kerajaan Sabah tidak menangani pencemaran, tidak melakukan sebarang langkah terhadap penempatan haram di Tanjung Aru, Sembulan dan Sepanggar, tapi mendakwa projek TAED bertujuan menyelamatkan pantai dari terhakis dan tercemar,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, awal Jun lalu mendakwa pelan induk TAED bertujuan menangani masalah hakisan dan pencemaran yang merosakkan pantai Tanjung Aru.

Menurut Musa, TAED memberi penekanan terhadap kemudahan awam selain mematuhi standard indeks Bangunan Hijau dan ciri-ciri alam sekitar serta mempunyai ruang kawasan terbuka. -Roketkini.com

Tiada ulasan: