Jumaat, 27 Jun 2014

Perkasa desak CEO Petronas letak jawatan

Sewaktu Tan Sri Datuk Mohd Hassan Merican dahulu, tidak banyak isu dan masalah timbul

ibrahim ali


KUALA LUMPUR: Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Shamsul Azhar Abbas meletakkan jawatannya.

Menurutnya, sejak jawatan tersebut dipegang olehnya, pelbagai masalah timbul terutamanya berkaitan dengan bumiputera.

“Sewaktu Tan Sri Datuk Mohd Hassan Merican dahulu, tidak banyak isu dan masalah timbul,” katanya sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Perkasa, hari ini.

Katanya lagi, kenyataan yang dilakukan oleh Shamsul di The Edge seolah-olah beliau hendak menyalahkan orang lain dan cuba untuk melindungi dirinya.

“Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa beliau ditarik dalam politik, campur tangan pihak berkepentingan, golongan birokrat dari dalam kerajaan menunjukkan sikap beliau yang sebenarnya.

“Saya dapat sifatkan temubual yang dilakukan bersama beliau seolah-olah beliau seperti burung unta yang takut, dan akan masukkan kepala di dalam pasir,” katanya.

Ujar Ibrahim lagi, kerajaan semestinya campur tangan, kerana konsesi tersebut adalah milik kerajaan dan pihak kerajaan cuba nasihatkan beliau tetapi beliau tetap berdegil.

“Kerajaan nasihat, tetapi beliau tidak mendengar. Adakah dia ingat, Petronas itu bapa dia yang punya?” tegas Ibrahim.

Tambahnya lagi, pihak Perkasa turut bersedia untuk berdialog.

“Kita sedia untuk berdialog, tetapi mesti dilakukan secara terbuka, siaran secara langsung, dan terbuka kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada masa yang sama Ketua Kluster Minyak dan Gas, Tengku Putra Tengku Ahmad turut menjelaskan bahawa ramai ‘pemain’ minyak dan gas amat kecewa pimpinan Shamsul Abbas itu.

“Beliau terlalu liberal dalam organisasinya. Sepatutnya pihak kerajaan menarik semula konsesi yang diberikan dan kita tengok sama ada Petronas boleh terus hidup atau tidak.

“Kita tengok jika Petronas mampu atau tidak untuk bersaing dengan Shell atau Exxon sekiranya tender terbuka dilakukan,” katanya.

Ibrahim dan Tengku Putra berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan yang dilakukan oleh Shamsul sewaktu di wawancara oleh The Edge.

Shamsul telah mengeluarkan kenyataan bahawa minyak dan gas bukan milik orang Melayu dan bumiputera semata-mata tetapi milik semua rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: