Sabtu, 28 Jun 2014

SPAN jelas isu gangguan bekalan air

HARAKAHDAILY


SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ingin merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 26 Jun 2014 berhubung dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah tidak berjadual yang berlaku di lima wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur disebabkan oleh bekalan air terawat yang diterima SYABAS tidak boleh menampung permintaan.

Seperti sedia maklum, permintaan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini telah meningkat akibat cuaca yang panas yang melanda negara ini. Dalam masa yang sama, rizab marjin air terawat yang mampu dihasilkan oleh loji-loji rawatan air sedia ada adalah rendah, iaitu kurang daripada 2%.

Kekurangan bekalan air yang sedia ada diburukkan lagi dengan beberapa kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini iaitu:

i)    Gangguan bekalan elektrik yang berlaku Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) selama 2 jam iaitu dari jam 4 pagi hingga 6 pagi pada 24 Jun 2014. Sebagai makluman, secara puratanya LRA SSP1 mengeluarkan sebanyak 960 Juta Liter Sehari (JLH) air terawat. Gangguan elektrik tersebut telah menjejaskan  bekalan air ke Wilayah Klang / Shah Alam memandangkan tempoh yang diambil bagi mengoperasi semula loji ke tahap pengeluaran biasa mengambil masa.

ii)    Kejadian paip di dasar laut (submarine) HDPE bersaiz 400 mm yang membekalkan air ke Pulau Ketam telah pecah. Kejadian paip pecah tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada seramai 4,800 pengguna di Pulau Ketam;

iii)    Penurunan paras air Sungai Selangor yang menjejaskan pengeluaran LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pada 25 Jun 2014. Daripada rekod, pengeluaran loji pada hari tersebut telah berkurangan kepada 670 JLH berbanding dengan pengeluaran biasa sebanyak 770 JLH. Pengurangan tersebut telah menjejaskan bekalan air ke Wilayah Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling.

Semua pihak yang bertanggung jawab termasuk Operator LRA SSP1 dan SSP3 iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi gangguan bekalan air dan tekanan air rendah tidak berjadual tersebut.

Sehingga kini, bekalan elektrik ke LRA SSP1 telah pulih seperti biasa dan loji tersebut telah beroperasi seperti biasa.

Bagi gangguan bekalan air di Pulau Ketam, SPAN difahamkan bahawa SYABAS telah mengenalpasti kedudukan kasar kebocoran paip. Walau bagaimanapun, lokasi sebenar masih belum dikesan memandangkan kerosakan paip berlaku di dasar laut. Keadaan di dasar laut akan menyukarkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan. SYABAS akan memaklumkan perkembangan kerja-kerja membaiki dari semasa ke semasa.

Bagi memastikan sumber air yang cukup di Sungai Selangor, Kerajaan Negeri Selangor selaku pihak yang bertanggung jawab bagi memastikan kecukupan air mentah di negeri Selangor sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk meningkatkan aliran air Sungai Selangor yang merupakan sumber air mentah bagi LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 melalui pengepaman air daripada kolam-kolam takungan di sekitar Bestari Jaya.

Melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 27 Jun 2014, satu pelarasan yang lebih rapi akan diadakan oleh semua pihak termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Operator Empangan Sg. Selangor, Empangan Sg. Tinggi serta LRA SSP1 dan SSP3 iaitu SPLASH dan Operator LRA SSP2 iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) bagi memastikan pengepaman yang maksimum dapat dibuat daripada kolam-kolam takungan. Melalui pengepaman daripada kolam-kolam takungan tersebut akan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi. Pada 27 Jun 2014, peratus simpanan di Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg. Tinggi masing-masing adalah 42.45% dan 64.57%.

Pada masa ini, SPAN dimaklumkan bahawa kebanyakan kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah telah mula pulih secara berperingkat. Walau bagaimanapun, beberapa kawasan terutamanya di penghujung sistem dan lokasi tinggi masih belum mendapat bekalan air. SYABAS sedang menghantar bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan tersebut. SYABAS juga turut menghantar bantuan 2 botol air minum 5 liter kepada setiap keluarga di Pulau Ketam.

Sehubungan itu, SPAN ingin sekali lagi memohon kerjasama semua pengguna di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya supaya berhemat dalam penggunaan air dan mengelakkan pembaziran dalam keadaan cuaca yang panas serta kedudukan paras air di empangan-empangan yang masih rendah pada ketika ini. Sebarang penjimatan ini boleh membantu dan mempercepatkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dengan gangguan berkenaan.

Untuk makluman media, sila hubungi Pn. Carol Pelly; Pengarah - Unit Komunikasi Korporat di talian 03-8317 9430 / 019-322 2174      

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Latarbelakang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 (Akta 655) yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari, 2008.

SPAN adalah sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan untuk menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuaan Putrajaya dan Labuan.

SPAN mengawal selia semua entiti dalam industri bekalan air dan pembetungan termasuk operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan awam dan persendirian, kontraktor bekalan air dan pembetungan, pemegang permit dan kelulusan produk bagi bekalan air dan pembetungan.

Tiada ulasan: