Khamis, 26 Jun 2014

DAP dakwa penyertaan MCA dalam Kabinet tidak bawa perbezaan

THE MALAYSIAN INSIDER


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika mengumumkan penyertaan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.
 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika mengumumkan penyertaan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet, semalam. Gambar fail The Malaysian Insider.



DAP menyifatkan penyertaan MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet tidak memberi sebarang makna kepada masyarakat Cina di negara ini kerana parti itu gagal menyuarakan hasrat mereka.

“Apa bezanya Kabinet yang ada wakil MCA dan Kabinet yang tiada wakil MCA," kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng sebagaimana dilaporkan oleh Roketkini.

Lim dalam kenyatannya hari ini berkata, sama ada wujud atau tidak wakil MCA dalam barisan Kabinet, tidak ada perbezaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman penyusunan semula

Kabinet semalam dengan memasukkan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinetnya. Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai menteri pengangkutan, menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib turut melantik Naib Presiden MCA Senator Lee Chee Leong menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Chua Tee Yong menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Sebelum ini, bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam satu kenyataan berkata, parti itu menolak sebarang jawatan dalam kerajaan ekoran pencapaian parti itu yang lemah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Namun, pada Februari 2014 selepas pelantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai presiden MCA dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM), parti itu mengintai peluang untuk mendapat semula jawatan di peringkat pusat, negeri dan kerajaan tempatan.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, tidak ada sebarang hasil kerja yang boleh dibanggakan, malah tanpa sebarang petunjuk prestasi bagi mengabsahkan pelantikan lima pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinet.

 “Kabinet kerajaan minoriti Barisan Nasional terpaksa disusun semula. Selepas hanya setahun, Malaysia kembali ke petak mula,” katanya.

Beliau berkata, penyusunan semula Kabinet itu hanya untuk ‘memberi muka’ kepada MCA dan Gerakan yang gagal kekal relevan pada PRU lalu.

Lim sebelum ini pernah meminta pemimpin MCA yang begitu aktif di media sosial, terutama presidennya untuk menawarkan lima janji kepada masyarakat Cina sebagai hujah penyertaan parti itu ke dalam Kabinet.

“Permintaan ini tidak dijawab. Minggu lalu saya bertanya lagi dan kali ini saya kurangkan kepada tiga janji sahaja. Ini pun tidak dijawab. MCA kekal membisu.

 “Apa janji MCA yang tidak boleh diusahakan sendiri oleh masyarakat Cina tanpa MCA?” soal Lim.

Sehubungan itu, katanya, pada hari bersejarah MCA menyertai semula Kabinet, beliau sekali lagi meminta parti itu untuk menawarkan satu saja janji lagi kepada masyarakat Cina di Malaysia.

“Saya secara spesifik menyebut ‘masyarakat Cina’ kerana kali terakhir saya periksa, MCA itu maksudnya Malaysian Chinese Association.

“Semua orang tahu MCA sebuah parti Cina yang ditolak masyarakat Cina dan tidak berfungsi sepanjang setahun lalu,” katanya.

Tiada ulasan: