Ahad, 2 Mac 2014

“Sumbangan” terbesar UMNO – Oleh Ben Nizari


pau 2012 mAK cik menangis

SELALUNYA saya cuma membaca kisah mengenai kebobrokan UMNO. Tentang penyelewengan, penindasan, salah guna kuasa dan sebagainya. Kadang-kadang saya jadi jemu. Dalam fikiran saya, tak akan tidak ada langsung kisah mengenai kejayaan UMNO sebagai parti pemerintah ‘paling berpengalaman’ di dunia.

Disebabkan itu saya terdorong untuk menulis mengenai kejayaan UMNO yang sering saja dilupakan oleh anak-anak Melayu terutamanya. Harap dapatlah membetulkan persepsi terhadap sumbangan UMNO-BN yang sering dilupakan.

Namun sebelum saya pergi lebih jauh, saya optimis punca kepada gejala lupa ini datangnya daripada orang UMNO juga.

Ingat lagi frasa ‘Melayu mudah lupa’?

Dikhabarkan frasa ini merupakan sejenis hipnosis atau subconscious technique yang digunakan seorang pemimpin tertinggi negara pada waktu itu bertujuan mahu melimitasikan daya ingatan dan fikiran anak-anak Malaysia terutamanya Melayu. Apabila frasa ini sering saja dilafazkan anak-anak Melayu itu sendiri maka hasilnya sangat memberangsangkan.

Anak-anak Melayu memang benar-benar sedang lupa. Lupa yang bagaimana?

Lupa bahawasanya Malaysia itu tidak dihuni oleh satu bangsa sahaja, yakni bangsa Melayu. Lupa bahawa kekayaan Malaysia bukannya untuk dimonopoli oleh orang tertentu sahaja. Dan lupa bahawasanya Malaysia ini sebenarnya hak milik kita bersama.

Sumbangan Terbesar UMNO

Hari ini, pemikiran sebahagian besar anak-anak Melayu seolah-olah mengalami fasa kegelapan. Yang ke hadapan menyuarakan pendapat dan menuntut hak sebagai rakyat itu hanya minoriti. Yang minoriti itu juga sibuk dan bertungkus lumus mencari pencerahan.

Bahkan wujud keadaan yang memaksa minoriti bergelut melawan dan berhadapan dengan penindasan aparat. Misal paling mudah apabila baru-baru ini, seorang pencetak T-shirt diburu kerana T-shirtnya didakwa mengancam keselamatan negara. Sama juga halnya dengan seorang penulis novel yang kelima-lima novelnya diharamkan sekaligus, bukan satu, tapi lima.

Anak-anak Melayu yang lain, sebenarnya mereka bukan hidup selesa sangat. Hakikatnya, mereka juga sering naik angin jika segala harga barang asyik naik, jika kerajaan tiba-tiba begitu cekap dan efektif berkempen mengenai pembayaran cukai, jika Pusat Zakat cukup lantang tentang hukum membayar zakat, jika intimidasi dan penindasan yang sering dilakukan rakan-rakan UMNO seperti NGO sembelih ayam tidak mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

Jauh di sudut kalbu mereka marah. Namun apa yang mampu dilakukan anak-anak Melayu ini selain menconteng status beremosi di Facebook, Twitter dan sebagainya. Hendak keluar protes nanti dikata gila, hendak melawan nanti ditangkap pula, hendak bersama DAP nanti apa kata keluarga, saudara mara dan orang kampung.

Ini merupakan realiti situasi yang wujud hampir di mana-mana sahaja, baik di bandar apatah lagi di luar bandar. Walaupun keterbukaan minda di dalam proses pemulihan demokrasi ini sedang berlangsung, ia sebenarnya berlangsung dengan pemfasaan yang perlahan.

Jika ditanya kepada saya mengenai sumbangan terbesar UMNO terhadap pemikiran anak-anak Melayu, jawapan saya tentulah kejayaannya mengindoktrinasikan bahawa adalah satu dosa yang tidak terampun jika tidak mahu menyokong perjuangan UMNO. Alasannya, walau apa pun terjadi kita dilarang melupakan UMNO kerana hanya UMNO pejuang tulen, ikhlas dan suci.

Malah dosa ini turut mempunyai tahap tertentu, di mana klimaks kepada dosa ini penganugerahan kalimah ‘pengkhianat bangsa’. Perhatikan bagaimana sumbangan UMNO terhadap pembentukan pemikiran anak-anak baru Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, amanah dan cintakan negara, sememangnya tidak boleh ada ruang atau sebab untuk kita melupakan sumbangan UMNO yang begitu besar ini.

Teruskan Mengenang Sumbangan UMNO

Dengan ikhlas dan sepenuh rasa rendah diri, saya mahu mengajak kita semua untuk terus bersama-sama mengenang sumbangan UMNO terhadap pembentukan pemikiran kita sebagai anak-anak Malaysia. Jangan kita terus asyik menuduh UMNO sebagai merosakkan pemikiran anak bangsa, tanpa UMNO kita tidak akan mampu berfikir dengan lebih cerah dan matang. Tanpa UMNO barangkali kita masih duduk di dalam daerah kegelapan.

Saya juga mahu mengajak anak-anak baru Malaysia agar jangan sekali-kali melupakan jasa UMNO. Taat dan wala’ kepada pemerintah UMNO ini berkali-kali diulang sebut oleh pakar agama dalam UMNO.

Bukankah terbukti daripada segi keamanan dan keselamatan kita adalah yang terbaik? Ini bukan retorik, kita yakin akan kebenaran ini melalui ketelusan laporan media arus perdana kita. Misalnya, kita tahu yang pihak berkuasa akan tembak sahaja anak muda yang tiada lesen memandu malah pihak berkuasa juga berhak memukul sampai mati tahanan di lokap jika enggan beri kerjasama, ini semua adalah jasa yang patut dikenang sampai bila-bila dan kita patut sentiasa bersyukur kerana sehingga hari ini Malaysia ternyata masih aman.

Sekali lagi, siapa kita untuk menafikan sumbangan UMNO sebagai parti paling berpengalaman di dunia?

Bersyukurlah, anak-anak Malaysia. Bersyukurlah Malaysia masih aman.

Ben Nizari adalah Alumni Sekolah Demokrasi

Tiada ulasan: