Jumaat, 14 Mac 2014

Risda tak boleh harap, wawasan dah naik kurap



Oleh ZULKIFLI YAHAYA


PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) ditubuhkan pada 8 Februari 1973 dengan objektif yang sungguh murni.
Agensi itu bertekad membimbing sektor pekebun kecil ke arah kemajuan dan perkembangan ekonomi dan sosial. Risda juga akan menentukan perusahaan getah asli negara ini bertambah teguh dan stabil.

Dalam ucapan sempena perasmian Risda, Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak Hussein berkata, "Saya juga telah mengarahkan Risda supaya mengadakan satu "integrated approach" terhadap semua masalah yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil. Pada masa yang lampau masalah pekebun kecil dikendalikan oleh beberapa pertubuhan iaitu Lembaga Perusahaan Getah (Tanam Semula), Pusat Penyelidikan Getah (RRI) dan juga Mardec. 

“Semua ini sekarang akan dikendalikan oleh Risda. Dengan ini bolehlah dijalankan perlaksanaan secara paduserentak akan hasil-hasil penyelidikan yang dijalankan RRIM dan juga sistem pemasaran yang dijalankan oleh Mardec untuk manfaat semua pekebun kecil di negara ini. Dengan cara "integrated approach" inilah maka Risda akan mempastikan bahawa sektor pekebun kecil yang diperbaharui dalam semua aspek untuk meninggikan taraf ekonomi pekebun-pekebun kecil dan memberikan kehidupan yang lebih sempurna." 

Empat puluh tahun sudah berlalu. Jika wawasan murni Risda diterjemahkan kepada pelaksanaan maka hari ini masyarakat pekebun kecil getah sudah berada di tahap kehidupan yang sempurna dari aspek saraan hidup. Tegasnya, hasil getah sudah cukup untuk menyara kehidupan seharian.

Malangnya ia tidak berlaku. Hari ini masyarakat pekebun kecil getah kembali dihimpit kesengsaraan sama seperti 40 tahun dahulu sehingga mencetuskan Demonstrasi Baling, satu peristiwa besar negara yang tidak pernah terpadam daripada catatan sejarah.

Bajet untuk Risda sangatlah besar iaitu RM800 juta (2014). Antara sasaran pencapaian Risda adalah meningkatkan pencapaian tanam semula di peringkat pembangunan tanah, meningkatkan produktiviti kebun getah, meningkatkan perolehan harga komoditi di peringkat ladang (framgate price), meningkatkan modal insan pekebun kecil melalui program latihan dan pengdampingan dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil. Sekali lagi segala sasaran pencapaian menjadi hampas transformasi. Pihak yang kaya adalah Risda sedangkan yang terhimpit adalah para pekebun kecil.

Selama ini cukai ses dipotong daripada pekebun kecil 10 sekilogram kepada Risda dan empat sen sekilogram kepada Lembaga Getah Malaysia. Sewajarnya ia perlu dikira semula berdasarkan pengeluaran semasa. Pengumpulan 10 sen untuk tujuan pemulangan semula (tanam semula) mesti dikira semula dengan munasabah supaya penoreh yang menyumbang potongan tersebut dapat menikmati semula dengan adil.

Kos memproses di kilang-kilang ditanggung bersama antara pengilang, pemain industri (broker, dealer, pedagang) dan pengeluar. Sebenarnya kos memproses maksimum yang munasabah ialah RM1.00 sekilogram bukannya RM1.40 - RM2.30 kini yang hanya mengutamakan pihak atasan. Mereka asyik nikmati isi, penoreh makan kuah.

Satu lagi isu yang menekan pekebun kecil ialah sukatan untuk kandungan getah kering (DRC). Selama ini DRC ditentukan dengan sukatan mata kasar. Pembeli macam seolah-olah mengambil kesempatan dengan sikap orang Melayu di kampung-kampung yang ‘tidak berkira’ dan boleh untuk berlebih kurang. LGM perlu mengkomersialkan tolok penyukat DRC yang telah dicipta daripada wang yg diambil atas alasan R&D daripada pekebun kecil kira-kira RM4 sesekilogram). Undang-undang kecil perlu diwujudkan untuk menjamin DRC tidak ditentukan secara andaian mata kasar sahaja.

Tuntutan paling utama yang mesti ditunaikan oleh kerajaan ialah harga lantai RM4 sekilogram. Tuntutan ini yang akan menjadi agenda penting dalam himpunan penoreh getah yang dirancang akan diadakan di Baling 5 April nanti.

Khabarnya sementara himpunan besar para penoreh menjadi kenyataan, para pemimpin kerajaan Pusat sudah naik gelabah menghadapi situasi kemarahan masyarakat pekebun getah. Khabarnya juga ada sesuatu untuk masyarakat pekebun getah yang akan mereka umumkan. Semuanya gara-gara ‘hasutan’ pembangkang. Tahupun kuasa pembangkang…

Tiada ulasan: