Jumaat, 14 Mac 2014

Pusat diminta tangguh rasmi KLIA 2 selagi kerja selenggara belum siap

Oleh Lyn Nasir


KUALA LUMPUR : Kerajaan Pusat diminta menangguhkan perasmian terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) berikutan kerja penyelenggaraan dan kerosakan yang perlu diperbaiki dan diragui dapat disiapkan sebelum dirasmi.

Ini ekoran pengumuman Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kerajaan tetap akan meneruskan pembukaan KLIA 2 pada 2 Mei ini.

Lip EngAhli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, KLIA 2 yang kini masih menjalani proses penyelengaraan antaranya akibat retakan yang berlaku pada paip dan sistem perparitan tidak boleh dibuka selagi kerja-kerja berkaitan belum siap sepenuhnya.

“Kenapa tak tunggu sampai semuanya siap, kemudian baru rasmi?

“Kenapa perlu tergesa-gesa sampai pendekkan tempoh ujian yang sepatutnya dibuat selepas pembaikan selesai?” kata Lip Eng pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menurutnya, jika perasmian diteruskan pada tarikh tersebut, sudah pasti wang rakyat dibazirkan untuk itu.

Lebih buruk kata Lip Eng, sehingga kini pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih gagal menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), walaupun ia bakal dibuka dalam waktu terdekat.

“Kalau betul mereka mahu rasmikan juga pada Mei ini, jelas mereka akan membazirkan wang rakyat,” ujarnya.

KLIA2Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam sidang media sama berkata, penyelenggaraan tersebut memerlukan 9 bulan untuk MAHB menjalani latihan Operasi Kesediaan dan Pemindahan (ORAT) sebelum dilaksanakan dengan lebih komprehensif.

“Satu pemeriksaan susulan telah dijalankan dan mendapati kerja-kerja perparitan masih dilakukan dan dijangka siap pada April 2014.

“Tapi selepas selesai pembaikan tersebut, latihan ORAT selama 9 bulan perlu dijalankan, sampai sekarang, CCC masih belum diperolehi.

“Sebab itulah perasmian tersebut perlu ditangguhkan,” kata Tony.

Sehingga kini, tiada sebarang penjelasan daripada Hishammuddin mengenai rekahan di permukaan jalan rayap dan di landasan sepanjang 3.96 kilometer, selain keretakan di kawasan apron dan tempat parkir pesawat.

Penjelasan itu dituntut Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar merujuk laporan media yang mendedahkan beberapa gambar rekahan tersebut.

Tiada ulasan: