Rabu, 12 Mac 2014

Pencarian kini di barat laut, Vietnam kata Malaysia diberitahu MH370 patah balik

THE MALAYSIAN INSIDER

























Vietnam hari ini mendedahkan bahawa ia nampak pesawat MH370 berpusing balik ke arah barat pada Sabtu lalu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia pada hari sama tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.

Pendedahan itu dibuat kerana pencarian pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu kini beralih ke arah barat laut menuju Laut Andaman hari ini, jauh daripada laluan yang ditetapkan untuk kapal terbang itu.

“Kami beritahu Malaysia pada hari kami terputus hubungan dengan pesawat itu bahawa kami nampak pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat tetapi Malaysia tidak menjawab,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam, Pham Quy Tieu yang dipetik oleh AFP hari ini.

“Kami bertanya kepada pihak berkuasa Malaysia sebanyak dua kali, tetapi mereka tidak menjawab soalan kami,” kata Tieu ketika ditanya mengenai laporan media bahawa pesawat itu dikesan melintasi Selat Melaka.

Vietnam hari ini mengurangkan usahanya mengesan pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, di Laut China Selatan di mana kapal terbang itu kali terakhir berkomunikasi ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tiada kesan atau jejak langsung ditemui selepas pesawat itu lesap awal pagi Sabtu lalu, dan maklumat yang tidak lengkap dan bercanggah menyebabkan kemarahan keluarga yang menunggu berita mengenai orang kesayangan mereka.

“Kami tidak akan melepaskan sebarang peluang. Kita perlu melihat kepada semua kemungkinan,” kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman kepada AFP, mengesahkan bahawa pencarian diluaskan ke Laut Andaman, iaitu di utara pulau Sumatera di Indonesia.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu sama ada keputusan meluaskan pencarian itu ke barat laut dari radius kawasan asal berdasarkan kepada petunjuk kukuh di mana pesawat itu mungkin berada.

Pihak berkuasa meluaskan zon pencarian ke Selat Melaka di pantai barat Malaysia selepas menemui data radar yang menyatakan ada petanda “kemungkinan” pesawat itu mengubah laluan daripada perjalanan asal merentasi Laut China Selatan.

Tetapi, peralihan kawasan pencarian itu menimbulkan banyak tanggapan terhadap cara pihak berkuasa yang kurang cekap mengendalikan kes itu, kata AFP.

Kekecewaan meningkat di Malaysia, dengan sosial media dan beberapa media bertukar bahan berita daripada simpati kepada keluarga kepada kemarahan kerana pencarian tidak berhasil.

Pengguna Twitter mensasarkan kepada laporan bercanggah, dan kekeliruan sama ada pesawat itu tersasar dari laluan asalnya.

“Jika tentera Malaysia tidak nampak MH370 pusing ke arah Selat Melaka, maka mengapa cari di situ? Siapa yang buat keputusan untuk mencari di sana dan mengapa,” kata seorang pengguna Twitter.

“Saya rasa Malaysia Airlines dan kerajaan Melayu cuba melindungi atau menyembunyi sesuatu mengenai pesawat MH370,” tulis seorang lagi.

Kemarahan dan rasa malu ditambah dengan laporan yang disiarkan program berita Australia mengenai pelanggaran keselamatan dalam kokpit sebelum ini membabitkan pembantu juruterbang dalam pesawat yang hilang itu.

Malaysia Airlines pada Selasa berkata, pihaknya “terkejut” dengan laporan Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid, 27, bersama juruterbang melanggar peraturan penerbangan pada 2011 dengan membenarkan dua wanita muda Afrika Seltan masuk ke kokpit ketika penerbangan.

Laporan itu termasuk gambar wanita berkenaan dalam kokpit, dengan salah seorang bergambar dengan seorang lelaki menyerupai Fariq. Penumpang dilarang memasuki kokpit ketika penerbangan selepas kejadian serangan 9/11 ke atas Amerika Syarikat.

Penganalisis berkata, tekanan terhadap pihak berkuasa Malaysia boleh menyukarkan usaha mencari dan menyelamat.

“Tekanan awam mungkin memberi kesan kepada struktur perintah dan penyatuan dalam misi mencari akan retak. Ini bukan apa yang kita mahukan,” kata Gerry Soejatman, penganalisis penerbangan bebas di Jakarta.

“Apabila ia retak, informasi dan keupayaan untuk pengesahan jadi masalah dan spekulasi tidak bertanggungjawab akan mengalahkan akal,” katanya.

Tentera udara Malaysia pada Rabu berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Boeing 777 bertukar laluan tanpa alasan yang diketahui, tetapi menafikan laporan ia dikesan di Selat Melaka, jauh dari laluan asal pesawat itu.

“Buat masa ini, tidak elok untuk mengeluarkan sebarang kesimpulan secara rasmi mengenai laluan pesawat itu hingga kita berjaya mendapatkan kepastian dan pengesahan mengenainya,” kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Rodzali Daud berkata dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun semua operasi mencari berterusan pada masa ini diarahkan untuk meliputi semua kawasan kemungkinan di mana pesawat itu mungkin pergi untuk memastikan tiada kemungkinan yang terlepas,” katanya.

Pihak berkuasa setakat ini tidak mendedahkan secara terperinci data radar yang dikatakan menunjukkan kemungkinan pesawat itu patah balik.

Peralihan zon mencari adalah perkembangan terbaru dalam misteri yang menyelubungi pesawat itu. Pada Selasa, pihak berkuasa Malaysia berkata, dua lelaki menggunakan pasport curi didapati pendatang tanpa izin warga Iran yang tidak terbabit dengan keganasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pegawainya tidak mengenepikan sebarang kemungkinan tetapi memberi fokus kepada kemungkinan rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi atau peribadi di kalangan penumpang atau anak kapal.

Operasi mencari kini membabitkan 42 kapal dan 35 pesawat sehingga Selasa, dari negara Asia Tenggara, Australia, China, New Zealand dan Amerika Syarikat.

China, yang mempunyai 153 warganya menaiki pesawat itu berkata, ia akan memasang 10 satelik dilengkapi pengimejan beresolusi tinggi untuk membantu dalam operasi mencari.

Boeing berkata, ia menyertai pasukan kerajaan Amerika Syarikat untuk menyingkap misteri apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawatnya 777-200 itu.

Tiada ulasan: