shahbudindotcom
Sebagaimana yang dijangka sebelum ini, lagi lama misteri kehilangan pesawat MH370 berlarutan, lagi berat tekanan yang akan dihadapi oleh Perdana Menteri, Najib Razak. Ini kerana seluruh dunia sedang memberi tumpuan tentang bagaimana kerajaan menyelesaikan krisis tersebut yang sudah berlangsung selama hampir seminggu tanpa sebarang petunjuk positif.
Jika di awal bermulanya tragedi ini, kerajaan dipertikai kerana sering memberikan maklumat yang tidak telus dan tidak tepat dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan dengan penerbangan dan keselamatan pula saling bercanggah dalam memberi maklumat, keadaan kini bertambah buruk dengan imej Najib mula dipertikai dan diperlekeh di peringkat antarabangsa.
Ketika episod pesawat hilang ini juga, terdedah pelbagai kelemahan kerajaan seperti pintu masuk negara yang mudah dibolosi walau dengan pasport curi, ketiadaan persiapan menghadapi krisis dan lebih buruk lagi ia turut menyerlahkan sikap pimpinan politik dan kerajaan yang turut tidak berwibawa dengan bukan saja memberi maklumat tidak tepat, bercanggah dengan anak buah sendiri serta menempelak kakitangan agensi di bawah kementerian sendiri tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu.
Sementara pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus menjalankan tugasnya dan melebarkan lagi lingkungan pencarian, kehadiran seorang bomoh silat yang bernama Ibrahim Mat Zain melakukan upacara ritual di KLIA kononnya untuk membantu mencari pesawat yang hilang itu, bukan saja mengundang kritikan dalam negara, bahkan juga melebar sehingga ke peringkat antarabangsa.
Dengan ritual pertama menggunakan teropong buluh dan bubu manakala ritual kedua pula menggunakan tikar terbang dan buah kelapa serta mendakwa dijemput untuk melakukan ucapaca itu oleh seorang VIP, Najib segera dikritik oleh media Arab sebagai mengamalkan ilmu sihir untuk mencari pesawat yang hilang itu.
Di Barat pula, pengguna media sosialnya melabelkan Najib sebagai pemimpin yang tiada otak serta memalukan rakyat Malaysia kerana membenarkan upacara yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan kemajuan manusia itu diadakan sebanyak dua kali di KLIA tanpa sebarang halangan.
Di Parlimen pula, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut menyelar kehadiran bomoh beserta amalan syirik dan berlawanan dengan ajaran agama itu serta menuntut kerajaan menjelaskan, siapakah yang membenarkan dan membayar untuk bomoh tersebut menjalankan kerjanya.
Walaupun beberapa pemimpin kerajaan seperti Shahidan Kassim dan Khairy Jamaluddin menafikan penglibatan kerajaan dalam menaja bomoh tersebut tetapi yang menimbulkan persoalan ialah bagaimana kerajaan yang mempunyai pelbagai agensi penguatkuasaan dan beribu-ribu anggota, tetapi tiada satu pun yang berani menyentuh raja bomoh itu sehingga ini.
Ia seolah-olah ada benarnya pengakuannya sebelum ini bahawa kehadirannya itu adalah atas jemputan seorang VIP yang mempercayai kebolehan dan kemampuan ilmu perbomohannya.
Tindakan raja bomoh ini, jika berdasarkan cemuhan di peringkat antarabangsa dan media Arab, jelas sudah memalu serta mengaibkan Najib dan kerajaan. Najib akan dipandang buruk di peringkat antarabangsa selepas ini dan kehadirannya di mata dunia seolah-olah sudah tercabut wibawanya. Bagaimana Najib mahu berhadapan dengan pemimpin dunia selepas ini?
Dengan media Arab pula menuduh Najib mengamalkan ilmu sihir, bagaimanakah negara mahu berhadapan dengan pemimpin dan masyarakat Teluk itu sedangkan sebelum ini mereka begitu menyanjung amalan dan perkembangan Islam kita.
Tetapi mengapa masih tiada tindakan diambil? Kenapa juga tiada laporan polis dibuat terhadap raja bomoh itu?
Jika dalam isu kangkung misalnya, begitu ramai yang tampil membuat laporan polis terhadap individu tertentu yang dianggap memalukan Perdana Menteri, kenapa pula dalam isu raja bomoh ini semua berdiam diri sedangkan aib yang dilakukannya kepada Najib meluas sehingga ke seluruh dunia?
Kenapa pihak polis dan Jakim tidak menangkap saja raja bomoh itu? Kalau sebelum ini mereka yang terlibat dengan syiah dan anti hadis juga gagal ditangkap, walaupun ada menteri yang bercakap berdegar-degar mengenainya, kegagalan bertindak terhadap raja bomoh yang jelas melakukan perbuatan syirik lagi sesat ini, jelas merupakan satu lagi episod yang memalukan negara.
Dalam hal ini, kerajaan yang dipimpin Najib langsung tidak diyakini untuk bertindak terhadap perkara yang kecil sekali pun tetapi jelas sesatnya kepada masyarakat. Selagi raja bomoh yang bernama Ibrahim Mat Zain ini tidak ditangkap atau tidak diambil tindakan, selagi itulah masyarakat mempercayai bahawa pihak kerajaan di belakangnya sambil negara dan pemimpin kita akan terus ditertawakan oleh dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan