Oleh Subky Latif
Jangan kata pemberian BRIM serentak dengan masa Pilihan Raya Kecil Kajang suatu kebetulan.
Mungkin tarikh itu sudah ditetapkan oleh kementerian kewangan sebelum perletakan jawatan ADUN Kajang, tetapi melambatkan PRK Kajang boleh diertikan sebagai disengajakan supaya ia dapat dijadikan bahan murahan kempen.
Jika tarikh pengeluarannya sudah dijadual lama, dan PRK diadakan segera seperti yang dilakukan di Besut dan Sungai Limau, nescaya tidak sempat BRIM itu digunakan di Kajang.
Jika tiada motif kempen, kerajaan boleh menunda sesuatu rancangan yang sudah ditetapkan kepada satu tarikh lain, supaya terhindar sangkaan ia justeru PRK Kajang.
Baik kebetulan atau disengaja, BN cuba mendapatkan manfaat dari pemberian BRIM yang pertama selepas PRU 13.
Maka bagi penganalisis politik berilmu dari menara gading lebih berminat mengira pemberian di musim kempen itu satu kebetulan dengan andaian betapa pemberiannya tidak memberi kesan banyak kepada pengundi Kajang.
Mereka andaikan pengundi Kajang tidak ramai yang berhak menerimanya dibandingkan dengan kawasan lain terutama di desa-desa. Kajang boleh kira kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Ipoh juga. Dan Kajang pula menjadi kediaman para pensyarah kampus di Lembah Kelang dan pegawai kerajaan yang bekerja di Wilayah Persekutuan, Seremban, Shah Alam dan Bangi.
Maka BRIM dikatakan tidak mempengaruhi mereka.
Apapun sikit-sikit ada terutama pengundi tegar Umno dari kelangan Melayu. Bagi mereka asal duit datang dari kerajaan, tidak kira layak atau tidak layak, rebut saja. Jenis ini kain batik dan kain pelikat pun boleh ditukar dengan undi. Jika tidak, tentulah tidak timbul isu membeli undi atau politik wang. Pengaruh politik wang memang besar dalam kalangan Umno hingga mendorong parti itu mengubah sistem pemilihannya supaya tiada calon sanggup mengadakan wang banyak bagi membeli undi.
Maka BRIM boleh dikira bentuk baru pembelian undi. Ia tidak datang dari parti dan calon. Ia ditaja oleh kerajaan. Ia halal pada akta piliihan raya.
Sedikit sebanyak pengundi Melayu akan terbelenggu terutama bagi yang tiada harga diri. Akan tetapi adakah pengundi Cina boleh digula dengan BRIM?
Pengundi Cina di Kajang tidak seramai pengundi Melayu. Walau pun Cina juga ada yang miskin tetapi ia kurang dari orang Melayu. Adakah Cina yang layak BRIM itu terasa terhutang budi dengan pemberian BRIM lalu memberi undinya? Atau mereka jadi seperti Melayu Kelantan, beri duit ambil, beri gula pun ambil tetapi undi tetap dia yang punya.
Rasanya pengundi Cina ada sifat pengundi Kelantan tidak memberi undi kepada orang yang memberi duit. Menjual undi itu adalah perbuatan hina dan bukan budaya orang yang maruah.
Mungkin orang Cina tidak berpegang kepada akidah agamanya dalam politik, tetapi mereka kebanyakannya ada maruah politik. Maka mereka tidak pandang sangat BRIM yang nilainya tidak sebesar mana dibandingkan dengan pendapatan masing-masing.
BRIM pula tidak dapat menampung keperluan hidup gara-gara kenaikan minyak, gula, tarif elektrik dan lain-lain. Tidak padan BRIM dengan perbelanjaan hidup yang terpaksa ditanggung. Dan bukan semua pengundi pula dapat BRIM. Bukan pula semua yang dapat BRIM mengundi.
Isu besar bagi pengundi ialah adanya calon besar dalam PRK itu iaitu Anwar Ibrahim. Yang lain kurang laku dibandingkan calonnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan