Khamis, 20 Mac 2014

Bongkar, selongkar isu rakyat di Pekan



Oleh Ahmad Lutfi Othman


Hujung minggu lalu, Sabtu dan Ahad, bersama tiga wartawan Harakah, saya ke Pantai Timur; singgah di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, mengunjungi pimpinan PAS Kawasan Pekan, seterusnya sempat bertanya khabar rakan-rakan aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Meskipun pencarian kehilangan MH370 sudah melewati tempoh seminggu, topik utama perbincangan kami tidak dapat lari daripada pelbagai misteri yang tersimpan di dalamnya. 

"Mungkin wartawan ada info eksklusif, kongsilah sikit dengan kami?" seorang aktivis PAS Pekan cuba meneka.  Saya hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum, "sama saja maklumat kita, masih banyak misteri yang belum terbongkar". 

Cerita dan gosil mengenai  kehilangan pesawat Boeng 777 Penerbangan itu menyebabkan saya hampir terlupa dengan pilihan raya kecil Kajang (apatah lagi kerusi Balingian, Sarawak) sehinggalah  ada teman  di Gambang, bertanyakan peluang Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail untuk meningkatkan majoriti undi.

"Adakah mustahil calon BN hilang wang pertaruhan?" soalnya, sambil merujuk kes dua calon BN Pulau Pinang menerima nasib malang itu dalam PRU13, iaitu wakilnya  di Dun Pengkalan dan Dun Berapit apabila gagal memperolehi sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan undi.

"Usah remehkan kempen MCA, mereka serius mahu hantar wakil tunggal ke Dun Selangor, dan tak elok nampakkan kita seolah-olah takbur," pintas saya, selain juga mahu menekankan, tanpa kehadiran Anwar Ibrahim sebagai calon, kempen semacam hilang serinya, lagipun tidak ramai menjangkakan saingan sengit BN.

Melalui siaran berita TV, saya terdengar pengakuan pemimpin Wanita Umno bahawa pengundi Kajang tidak memberi reaksi sewajarnya, malah ada yang menutup pintu, kepada kempen mereka. Secara terbuka beliau mendedahkan, ada penduduk yang memberi ruang untuk masuk ke rumah tetapi mengambil kesempatan untuk mengkritik balik petugas BN.

"Apa posisi Kak Wan bila menang nanti? Mungkinkah gaya pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim berubah selepas ini?" rakan saya terus bertanya. Saya sekadar memintanya merujuk kepada kolum Liew Chin Tong dalam Harakah baru-baru ini, yang membayangkan langkah memenjarakan Anwar telah mendorong keyakinan strategis DAP itu bahawa Dr Wan Azizah adalah PM yang dinobatkan Umno secara tidak sengaja.

(Saya kemudiannya membaca kenyataan Lim Kit Siang bahawa misi "menghilangkan deposit" calon BN adalah bertujuan baik, iaitu menyelamatkan empat  pihak; Anwar dari hukuman lima tahun penjara, juga Karpal Singh yang dihukum atas kesalahan menghasut, selain badan kehakiman dan sistem keadilan negara yang bakal terjerumus ke zaman gelap, serta Malaysia yang dilanda enam krisis serangkai).

Di kampus UMP, Pekan, selesai solat jamak Zuhur-Asar, ada khabar duka tentang tragedi kematian dalam konsert liar di Bukit Jalil, ekoran penggunaan berlebihan dadah, difahamkan turut melibatkan pelajar IPTA dari Pahang. Memang kami terkejut, tetapi jauh di lubuk hati saya menginsafi keluarga malang itu pastinya lebih menderita dengan peristiwa sedih itu.

Bagaimanapun, diskusi kami mengenai pergolakan politik mahasiswa, antara lain insiden pembatalan majlis penyerahan watikah ahli Majlis Perwakilan Pelajar UMP, lebih mengujakan. Harakah telah membuat liputan mengenai kontroversi berkenaan.

Kebangkitan mahasiswa UMP -- yang selama ini terpisah daripada kampus Lembah Kelang -- cukup memikat perhatian saya. Tanpa diduga mereka bangun membantah pentadbiran universiti yang mencantas sewenang-wenangnya, tanpa alasan munasabah, nama-nama calon tertentu,  daripada menyertai pilihan raya kampus, sehingga mencetuskan demonstrasi aman yang cukup mengejutkan.

Ya, pelajar-pelajar itu seperti mahu mengajar pengurusan kanan UMP, agar jangan pandang rendah maruah dan harga diri mahasiswa. Mentaliti meremehkan mahasiswa oleh pegawai tinggi Hal Ehwal Pelajar memang menjadi lumrah meskipun Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda.

Kongkongan dan sekatan di kampus semakin menjadi-jadi, khususnya melalui "arahan tidak bertulis", bagi memastikan mahasiswa kekal sebagai "pelajar sekolah menengah atas". Segala perancangan dan program Majlis Perwakilan Pelajar harus dirujuk -- dan sudah pasti mesti mendapat kelulusan -- HEP. Dan di UMP, situasi sama, malah lebih ketat, terus menyekat gerakan pelajar daripada selesa bereksperimen mematangkan organisasi.

Menjelang tengahari Ahad itu, bertolak dari Hotel Sri Manja, Indera Mahkota, tidak jauh dengan kampus UIAM Kuantan, kami menuju ke Pekan. Saya terkenangkan rombongan PAS Pekan yang mengunjungi Pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur, tidak lama selepas saya menjalani  pembedahan pintasan jantung.

Sepanjang perjalanan, nampak hutan kecil di kiri kanan jalan terbakar. Seperti di lokasi lain, di musim kemarau ini, tiada pasukan bomba datang memadam. Menghampiri bandar Pekan, rakan wartawan, Ali Bukhari Amir -- yang banyak menulis tentang "revolusi dan penggulingan" -- menunjukkan banner kedai makan "Ustaz Najib". Kami sama-sama ketawa, sambil mengambil maklum ia tiada kaitan dengan Perdana Menteri, Najib Razak!

Ali turut asyik bercerita, khususnya kepada dua lagi teman wartawan, Arif Atan dan Arif Juhani yang memandu, tentang populariti Pekan sebagai "pekan martabak", iaitu Martabak Mengkasar. Sayang sekali, kedai makan di Jalan Sultan Abu Bakar itu belum dibuka ketika kami sampai.

Semasa bertukar-tukar pandangan dengan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kasim Manaf, di Pejabat PAS Kawasan, saya agak tersentak dengan pendedahan rangkaian isu-isu besar yang tidak ditangani dengan baik oleh Ahli Parlimennya, Najib Razak.

Dua tiga anggota Dewan Harian  PAS Pekan yang  turut sama dalam pertemuan itu menyenaraikan masalah rakyat, termasuk isu bekalan air bersih dengan segala kompleksitinya, masalah banjir. isu di Kuala Pahang, projek-projek terbengkalai termasuk yang bernilai berbilion ringgit, peluang pekerjaan, gangguan keselamatan, harga rumah yang mahal dan lain-lain lagi.

"Banyak isu di kawasan Perdana Menteri ini ... sayang sekali Harakah jarang menyiarkannya,"  Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Kapten (B) Ahiatuddin Daud meluahkan.

"Adakah Harakah juga takut dengan Najib?" seorang rakannya menambah, disambut ketawa hadirin yang lain. "Apalah yang nak ditakutkan, dan kalau nak tahu, saya bawa bersama hari ini tiga wartawan yang banyak bercakap tentang 'penggulingan Najib'," pintas saya, menyebabkan gelak-tawa berpanjangan dan bertambah nyaring.

"Lagi satu, kenapa Harakah tidak tekankan, mengapa perlu Najib lantik sepupunya Hishamuddin Hussein sebagai pemangku Menteri Pengangkutan, sedangkan dia telah gagal sebagai Menteri Dalam Negeri ketika menguruskan kes Lahad Datu dulu?" ujarnya lagi.

Perbincangan kami tengahari itu seperti susah untuk ditamatkan. Saya memahami begitu banyak yang mahu diluahkan, untuk kami rakam dan laporkan dalam Harakah. Apu pun, ia tentunya memerlukan kami turun ke gelanggang, melihat sendri masalah masyarakat akar umbi di kawasan Perdana Menteri.

Semasa bersalaman dengan Ustaz Abu Kassim, selepas menikmati juadah tengahari yang menyelerakan, saya seolah-olah memberi jaminan: "Insya-Allah, Ustaz tak perlu tunggu lama kehadiran kami ke sini lagi."

"Basiron pernah buat tinjauan  turun padang ke Pekan, tapi peliknya kenapa laporan dia tak disiarkan," tanya Ustaz Abu Kassim merujuk wartawan Harakah Pahang, Basiron Abd Wahab.
"Rasanya ada silap kat mana-mana tu, Ustaz. Takpa, kita akan betulkan kesilapan di peringkat editorial. Dari segi pemberitaan, Pekan memang ada keistimewaan tersendiri," jawab saya mohon berundur.

Kami masih ada temujanji di kampus UMP Pekan tidak jauh dari situ. Saya juga perlu mengejar waktu pulang segera memandangkan esok paginya perlu menjalani rawatan berkaitan masalah buah pinggang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan semasa kami melintasi kedai Martabak Mengkasar, ia masih belum dibuka. Memang bukan rezeki hari itu...

Sememangnya, di mana-mana saja, di seluruh pelosok negara, elit penguasa yang menyuburkan budaya rakus kroni-kapitalisme, tidak segan-silu terus memunggah khazanah kekayaan, dengan membolot apa jua peluang bagi memenuhkan tembolok diri dan suku-sakat.  Justeru, Pekan tidak sekali terkecuali, kalau pun tidak menjadi salah satu daripada lubuknya.

Kabel politik sentiasa menjadi medium untuk melonjakkan lagi penggandaan kekayaan, membiarkan majoriti rakyat yang terus terkepung dengan asakan kenaikan kos sara hidup, selepas menjinakkan mereka dengan umpan BR1M dan seumpamanya.

Edisi terbaru majalah The Economist menyenaraikan Malaysia sebagai negara dalam kedudukan ketiga dalam indeks kapitalisme-kroninya bagi tahun 2014, kedudukan yang sama sejak kajian tersebut dilakukan pada tahun 2007.

Kunjungan singkat ke Kuantan dan Pekan ini, sekurang-kurangnya membuka peluang untuk bukan saja  kami mengenali "potensi kebangkitan" di Pantai Timur, malah mendekati kelompok yang banyak menyimpan cerita dan isu, untuk dikongsi lebih ramai orang.

Najib mungkin tidak lagi bimbangkan pengundi Pekan -- biarpun hampir dikalahkan pada Pilihan Raya Umum 1999, hanya menang dengan majoriti tipis 241 undi mengalahkan  calon PAS, Ustaz Ramli Mohamed -- dalam PRU berikutnya, namun suara keresahan masyarakat Pekan dan keberanian anak muda UMP tetap menarik perhatian kami untuk datang lagi, selain "pekena" Martabak Mengkasar yang belum sempat dijamah itu ....

Tiada ulasan: