KL TODAY
Pengarah
filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba tidak terkejut dengan
sambutan dingin ke atas filem yang berlatar belakangkan sejarah kerana
tahu selera penonton tempatan lebih ke arah genre seram dan
komedi.
“Kenyataannya kami menjangkakan filem ini kurang mendapat
sambutan dan kutipannya pula tidak mungkin akan pecah panggung. Tetapi
kami tetap meneruskannya kerana ia wajar dilakukan,”katanya kepada
media.
Beliau
berkata, kritikan yang tidak pernah surut sejak Tanda Putera
ditayangkan menjadi antara sebab pengarah tempatan mengelak untuk
membikin filem lebih serius dan berdasarkan kisah sebenar seperti Tanda
Putera yang menelan kos RM4.8 Juta.
“Kami akan
menentang arus ini. Ia bukan satu yang mustahil menghasilkan filem
sejarah tanpa menerima geran dari kerajaan,” katanya yang pernah
membikin filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Layar Lara.
Tanda
Putera tidak mendapat kutipan pecah panggung pada minggu pertama dan
tayangannya kini ditukarkan ke pawagam kecil dengan tempat duduk
terhad.
Filem yang
mengandungi adegan percetusan kaum 13 Mei yang didakwa meragukan
memulakan tayangannya di seluruh negara pada 29 Ogos lalu dan hanya
hanya mampu mengutip RM500,000 sepanjang tempoh penayangan filem itu.
Shuhaimi
berkata, beliau sedar filem berkisarkan sejarah tidak akan berjaya di
panggung negara ini dan filem sejarahnya sebelum ini, Hati Malaya 1957
juga turut menerima nasib sama apabila hanya berjaya mengutip RM760,000
hasil jualan tiket berbanding kosnya mencecah RM3.6 juta ringgit.
Hati
Malaya 1957 menekankan perjuangan Pengasas Umno Datuk Onn Jaafar yang
bergelut untuk menanamkan semangat kenegaraan menentang Malayan Union
pada 1956 Seperti Tanda Putera, Hati Malaya mendapat peruntukan dari kerajaan .
“Ia amat
memalukan dan menyedihkan,” kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof memberi reaksi
terhadap sambutan filem itu.
Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia.
Mustapha
memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera
sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang
mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.
Shuhaimi pada awalnya berkata, kekurangan sambutan penonton pada pembukaan filem kerana ia ditayangkan pada waktu bekerja.
Walaupun
menerima banyak kritikan yang negetif termasuk dari pihak media dan
pemimpin politik, Shuhaimi berkata, beliau tetap berbangga apabila
filem ini mendapat pulangan yang boleh tahan bagi filem sejarah.
Shuhaimi berkata, penayangan serentak antata Tanda Putera dan Kl Zombie memberi saingan yang besar kepada filemnya.
“Seorang
pengarah memberitahu saya ia adalah membunuh, namun kita ambil sebagai
cabaran kerana ini realiti selera penonton tempatan. Kita berjuang
untuk penonton sebaik yang boleh,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, filem berkisarkan sejarah ini tidak akan ada tamat tempohnya dan mempunyai nilai yang tinggi.
“Sebagai
contoh ia boleh digunakan oleh stesen televisyen. Saya berharap
penonton tempatan akan dapat mengubah selera mereka daripada terus
hanya menyukai genre seram dan komedi,” katanya.
Tanda
Putera mencetuskan kontroversi apabila ada adegan di dalamnya dikatakan
mengandungi unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Ia
mendapat kritikan hebat daripada DAP dan MCA kerana filem itu dikatakan
seolah-olah menyalahkan kaum Cina sebagai pencetus tragedi 13 Mei
1969.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan